Oleh Aznan Mat Piah
Apakah yang anda lakukan waktu perintah kawalan pergerakan (PKP) begini dan dalam situasi kita menghadapi pandemik? Saya memilih menonton televisyen, selain daripada media sosial, untuk mengikuti perkembangan semasa. Manakala media sosial mengandungi berita-berita sensasi seringkali kita meragui kesahihannya, berita yang disiarkan oleh media arus perdana lebih tepat dan boleh dipercayai.
Oleh kerana PKP membataskan pergerakan kita bagi mengawal jangkitan COVID-19, masa terluang itu seharusnya dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Sebenarnya, banyak maklumat yang dikongsikan dalam media saban hari sangat berguna bagi panduan kita bersama ketika berhadapan dengan krisis yang melanda seluruh dunia.
Dengan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di Selangor, WP Kuala Lumpur atau Lembah Klang hingga ke lima digit melepasi 10,000 kes, dan keadaan menjadi sangat kritikal akhir-akhir ini, perhatian masyarakat tertumpu kepada apa juga maklumat disebarkan oleh media untuk dijadikan panduan ke arah melindungi kesihatan dan keselamatan orang ramai.
Sudah tentulah media massa memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat terkini dalam mendidik masyarakat tentang perkembangan semasa untuk berhadapan dengan krisis.
Kalau kita hendak mendapatkan berita yang lebih sahih, seharusnya kita membaca akbar atau menonton media arus perdana sekurang-kurangnya mengikuti perkembangan yang disiarkan sepanjang waktu di media elekronik. Di antara stesen yang menjadi pilihan saya kini ialah Radio Televisyen Malaysia (RTM) atau lebih tepat lagi TV1.
Stesen RTM menjadi pilihan sebagai sumber berita kerana saya percaya, sebagai media kerajaan, apa yang disebarkan oleh stesen ini adalah lebih sahih dan tepat, terutama sekali tentang apa yang dilakukan oleh kerajaan dan tentang perkara-perkara yang menyentuh dasar-dasar yang dilaksanakan untuk kesejahteraan ramai.
Namun demikian, tidak bermaksud saya hanya bergantung kepada satu sumber maklumat. Perhatian saya juga ditumpukan kepada stesen-stesen swasta dan berita akbar perdana secara online bagi mendapatkan pandangan alternatif dan gambaran yang lebih menyeluruh tentang sesuatu isu.
Saya dibesarkan dalam zaman atau era RTM (TV1) ketika ia ditubuhkan dalam tahun 1960an, dari zaman televisyen hitam puteh lagi, sehinggalah ia berubah kepada televisyen warna, zaman analog, dan zaman ketika ia belum mempunyai saingan dari media swasta lagi.
RTM merupakan sebuah stesen berita yang bukan sahaja berupaya menyampaikan maklumat terkini, tetapi juga sebagai sumber pengetahuan dan informasi. Kini, sudah lebih 70 tahun RTM menerajui bidang penyiaran dalam menyampaikan mesej dan mendidik masyarakat ke arah mencapai pembangunan yang sihat.
Satu ketika dulu bilamana RTM menghadapi saingan dengan stesen televisyen swasta seperti TV3, NTV7 dan TV9 iaitu stesen-stesen di bawah Media Prima dan ASTRO Awani sendiri, ramai penonton beralih ke stesen-stesen swasta, tidak lagi menonton TV1 kerana ada yang beranggapan stesen RTM terlalu propaganda, berat sebelah, dan hanya mencerminkan pandangan dan pendirian kerajaan memerintah. Saya sendiri terikut-ikut dengan trend tersebut, ekoran itu saya lebih banyak menonton televisyen swasta seperti TV3 dan Astro Awani daripada menonton TV1.
Di samping itu, dengan era teknologi digital sejak awal tahun 2000 ramai juga yang beralih ke media sosial dan ini juga banyak mempengaruhi penonton untuk tidak lagi menonton siaran RTM. Waktu itu, melalui konsep citizen journalism, media sosial menjadi satu sumber alternatif yang memberikan kebebasan kepada netizen untuk bersuara. Malangnya, banyak maklumat yang disebarkan oleh media sosial sekarang ini seringkali mengandungi berita-berita palsu atau bahan-bahan yang diputarbelitkan, mencurigakan atau penuh sensasi.
Baru-baru ini saya lihat stesen RTM, khususnya TV1, telah melakukan banyak pembaharuan yang nampak begitu ketara sekali. Kini siaran televisyen ini secara fizikalnya lebih jelas dan terang kerana ia menggunakan teknologi digital dan paparan imejnya lebih menarik dari segi setting, warna dan camera shot yang saya rasa mampu bersaing dengan media antarabangsa. Visualnya lebih menarik dan gambaran serta kandungan yang dipaparkan menerusi infografik amat mudah digarap dan difahami oleh penonton.
Siaran berita keseluruhan yang dikendalikan oleh bahagian berita dan ehwal semasa RTM kini menjadi lebih menarik. Liputan beritanya lebih meluas dan kandungan berita lebih mendalam. Pemberita dan penyampai atau hos berita di studio lebih berpengetahuan, berketerampilan dan berkemampuan menyampaikan maklumat dengan lebih yakin, teliti dan berkemahiran membuat liputan di lokasi.
Saya berani menyatakan bahawa pilihan berita dan penyampaian berita stesen ini kini setanding atau lebih baik daripada stesen swasta. Sudah tentu dengan perubahan yang dilakukan itu akan menarik lebih ramai audien menonton siaran TV1 terutamanya ketika kita sedang berhadapan dengan isu COVID-19 di mana orang ramai sangat memerlukan informasi dan maklumat terkini yang lebih tepat.
Di samping itu, liputan RTM lebih menyeluruh ke seluruh negara menerusi liputan dari negeri-negeri dan daerah-daerah di Semenanjung, termasuk juga dari Sabah dan Sarawak. Bahkan TV1 juga menyiarkan siaran berita radio secara terus dari konti yang dapat kita ikuti di kaca televisyen.
Antara siaran TV1 yang menarik perhatian orang ramai pada musim PKP dan pandemik sekarang ini ialah ‘Selamat Pagi Malaysia’ yang bersiaran dari jam 8 pagi hingga 11 pagi setiap hari. Rancangan ini menyiarkan liputan meluas terutama tentang perkembangan dan usaha-usaha kerajaan memerangi COVID-19 dan kesannya terhadap sosial dan ekonomi. Ia juga memuatkan liputan berita sekitar langkah-langkah pemberian vaksin dan penjagaan kesihatan yang berupa nasihat dan panduan kepada orang ramai bagi mengatasi permasalahan yang dihadapi.
Perbincangan dalam rancangan ini memberi perhatian bukan saja terhadap kesan dari segi fizikal, tetapi juga menyentuh psikososial dan kesihatan mental yang dialami oleh banyak pihak akibat pandemik bagi meneruskan kelangsungan hidup. Misalnya, stesen ini menjemput pakar-pakar perubatan dan kesihatan dari hospital kerajaan dan swasta, mahupun pakar-pakar psikologi, ekonomi dan perundangan dari universiti dan institusi tempatan membincangkan secara terbuka dan berkongsi ilmu mengenai perkara-perkara yang sangat berfaedah dan bermanfaat kepada penonton.
Siaran ini sentiasa sarat dengan maklumat dan pengetahuan yang menarik dan penting kepada audien. Ia dipenuhi perbincangan sama ada melalui wawancara khas yang diadakan di studio RTM di Angkasapuri atau menerusi perbualan yang diadakan atas talian secara langsung menerusi skype atau zoom dengan beberapa pakar dan profesional dalam pelbagai bidang dan latarbelakang yang memberi pandangan berbentuk nasihat dan panduan kepada orang ramai, terutama kepada mereka yang terkesan daripada pandemik.
Saya perhatikan setiap pagi rancangan ini memuatkan perbualan dengan pakar-pakar dari bidang dan institusi yang berbeza. Siaran ini dikendalikan oleh para penyampai yang terdiri dari golongan muda yang berkelayakan, berpengetahuan, dan mahir berkomunikasi dengan jelas di samping penampilan mereka yang memberikan keyakinan kepada penonton.
Berkait rapat dengan isu menyekat penularan COVID-19 ialah bingkisan visual bertajuk ‘COVID itu Benar’ atau singkatannya COVIB di mana ia memuatkan liputan terus dari hospital tentang mangsa COVID. Bingkisan ini sedikit sebanyak mampu menimbulkan kesedaran di kalangan penonton tentang bahayanya virus tersebut dan mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP (standard operating procedure). Ianya juga bertujuan mengubah persepsi sesetengah pihak yang kurang yakin terhadap vaksin dan seterusnya menggalakkan orang ramai mengambil vaksin sebagai langkah pencegahan.
Lain-lain rancangan berbentuk ilmu pengetahuan ialah Bicara Naratif, Salam Pagi, Borak Dulu Sampai Menang, Forum Baitullah dan Forum Perdana. Rancangan-rancangan ini mampu mencetuskan minda penonton menerusi siaran interaktif dan perbincangan yang turut mengundang dan melibatkan pandangan audien.
Tidak kurang juga stesen ini membawa liputan meluas tentang perkembangan terkini serantau dan dunia menerusi berita dunia atau antarabangsa yang disiarkan terutama mengenai perkembangan sekitar COVID-19 yang berlaku di negara luar.
Satu lagi rancangan yang menarik ialah “Muqaddam” yang mulanya disiarkan di TV1 dalam tahun 1970an yang memaparkan bekas tokoh ugama Haji Hassan Azhari, mengajar anak-anak mengaji al-Quran dengan menggunakan papan hitam. Rancangan ini masih diteruskan tetapi diberi imej baru yang dihoskan oleh anak Haji Hassan iaitu Ustaz Mohamad Taha Hassan. Program ini disasarkan kepada kanak-kanak sekolah rendah. Pada musim PKP ini rancangan pendidikan ini mampu mengisi masa lapang kanak-kanak di peringkat umur antara 6 hingga 11 tahun.
Stesen RTM tidak seharusnya dibandingkan dengan stesen televisyen swasta kerana ia seharusnya menjadi sebuah stesen yang memberikan maklumat sahih, terkini dan mempunyai kredibiliti yang tinggi. Sekiranya RTM, khususnya TV1, mampu mengekalkan stesen ini sebagai sebuah stesen yang menyalurkan maklumat yang boleh dipercayai, tidak sensasi, tetapi mengandungi fakta dan informasi, sudah tentu ramai penonton akan beralih semula ke stesen ini.
Sudah hampir dua tahun kita berhadapan dengan pandemik. Banyaklah perkembangan yang berlaku di sekitar jangkitan COVID-19 termasuk langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam memerangi virus dan menangani situasi pandemik, baik dari segi kesihatan mahupun dari segi kelangsungan hidup. Ini termasuklah langkah menangani tekanan mental di kalangan mereka yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan atau mata pencarian.
Sesungguhnya, masyarakat juga mempunyai peranan bagaimana kita harus mentafsir dan memahami mesej dan maklumat yang disampaikan oleh media. Di sinilah stesen RTM (TV1) boleh terus memainkan peranannya sebagai sebuah stesen yang berpengaruh, berwibawa, dan berprestij dalam penyampaian maklumat yang tepat, berkesan dan berfaedah kepada masyarakat. ***