Oleh Shafizan Mohamed
Baru-baru ini telah viral satu klip video menunjukkan seorang pemberita memberikan kiasan yang berbaur sindiran. Si pemberita menggambarkan kekhilafan pihak berkuasa seolah-seolah seperti seseorang yang otaknya di lutut. Kasar sungguh bahasa yang digunakan. Kepada siapakah amarah ini ditujukan? Kementerian Kesihatan Malaysia? Polis DiRaja Malaysia? Kerajaan Malaysia? Otak siapakah yang didakwa berada di lutut?
Rata-rata klip video itu mendapat sambutan positif daripada netizen dengan ramai yang menyokong dan mengangkat sipemberita sebagai seorang yang berani. Sudah tentu inilah sambutannya apabila sipemberita berlagak sama seperti netizen, menggunakan emosi dan sentimen terhadap isu yang sememangnya sensitif di saat masyarakat terus tertekan dengan kesan krisis COVID-19 yang masih belum nampak penghujungnya.
Kita sama-sama maklum dan tidak menafikan ada pihak berkuasa yang khilaf dan perlu ditegur. Tetapi apakah kesannya jika seorang pemberita yang seharusnya mendukung etika kewartawanan merendahkan prinsipnya dengan terikut-ikut gaya populis yang selayaknya digunakan oleh netizen biasa yang tidak terlatih untuk menyampaikan maklumat dengan objektif dan penuh rasa tanggungjawab?
Peranan seorang wartawan atau pemberita adalah untuk menyalurkan maklumat yang dapat membantu masyarakat untuk lebih bijak dalam memahami isu dan masalah sekeliling. Di atas bahu wartawan juga terletak tugas mendidik masyarakat, lebih-lebih lagi di persada dunia media sosial yang penuh dengan fitnah dan berita palsu. Wartawan dan saluran berita arus perdana harus menjadi sumber yang professional, bijaksana dan beretika. Wartawan harus berbeza dan memberi sudut pandang yang lebih mendalam berdasarkan kajian, analisis dan perbincangan ilmiah dan bukannya berdasarkan sentimen emosi semata-mata.
Menjenguk ke dunia barat terutamanya di Amerika Syarikat, terdapat banyak rancangan pseudo-news atau satirical news yang tidak terikat dengan mana-mana prinsip kewartawanan secara khususnya atau prinsip hormat-menghormati secara amnya. Rancangan seperti ini bebas mengutuk, menyindir atau mengejek sesiapa sahaja, sama ada artis, penjenayah atau presiden. Namun rancangan seperti ini mempunyai matlamat tersendiri dan lebih bersifat hiburan dan mempunyai agenda kritikan sosial. Malah pengacara rancangan-rancangan seperti itu datangnya daripada kalangan ahli komedi yang bijak membahaskan isu semasa dalam bentuk hiburan. Mereka bukanlah pengamal media yang beteraskan kewartawanan berfakta dan bertanggungjawab.
Ahli komedi atau pelawak bukanlah wartawan. Profesion kewartawanan sering diangkat sebagai the ˜fourth estate ataupun estet keempat dalam sebuah negara demokrasi. Kerjaya dan insitutsi kewartawanan itu dianggap setaraf dengan tiga cabang demokrasi yang lain iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman. Ini menunjukkan betapa pentingnya profesion kewartawanan itu dalam membentuk pendapat umum.
Wartawan memainkan peranan utama dalam menyedarkan masyarakat tentang pelbagai isu sosial, politik dan ekonomi yang berlaku di seluruh dunia. Tanggungjawab ini harus digalas dengan penuh kebijaksanaan, bertanggungjawab dan prihatin dengan persekitaran semasa. Masyarakat dahagakan berita dan maklumat yang membawa kepada perubahan positif dan bukannya berita sensasi yang tiada memberi manfaat, malah lebih merosakkan sifatnya. Berita bukan jenaka.
Oleh itu pengamal media perlulah menghargai dan mengangkat prinsip kewartawanan yang professional dan jujur. Kritikan dan teguran wartawan terhadap sesuatu permasalahan itu sangat penting, tetapi perlu disampaikan dengan penuh bijaksana. Penghormatan masyarakat terhadap kerjaya dan fungsi kewartawanan sebenarnya lebih terletak kepada bagaimana para wartawan melaksanakan tugas dan membina keperibadian mereka. Janganlah etika dan prinsip kewartawanan bertanggungjawab digadaikan demi mendapat populariti murahan.***