Oleh Aznan Mat Piah
Minggu hadapan kita semua akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan berakhirnya Ramadan. Sekali lagi kita akan menyambut hari lebaran dalam keadaan kita berhadapan dengan pandemik COVID-19 dalam suasana yang pastinya agak suram kerana pergerakan kita terbatas dan virus masih belum dapat ditangani sepenuhnya.
Kerajaan telah mengumumkan tidak membenarkan orang ramai merentasi daerah dan negeri mulai Isnin ini (10 Mei) hingga 6 Jun 2021 di seluruh negara untuk balik ke kampung halaman untuk beraya bersama sanak saudara sepertimana yang pernah kita amalkan sebelum pandemik melanda negara pada tahun lepas.
Apa yang dikongsikan dalam video di kalangan netizen yang viral di media sosial banyak memaparkan perasaan atau manifestasi perasaan yang tersekat. Bagaimanapun, terdapat juga paparan video dan komen yang membawa mesej positif walaupun beremosi sifatnya dengan dendangan lagu-lagu Raya diubahsesuai liriknya bagi mencerminkan perasaan mereka akibat larangan yang dikenakan yang menyekat orang ramai pulang ke kampung.
Dari luahan perasaan yang diikuti dalam media sosial, dapat dirasai kekecewaan orang ramai yang tidak boleh pulang ke kampung halaman.
Ini bererti kita semua terpaksa berhariraya di kota, di daerah atau di mana saja kita berada. Perayaan Hari Raya di kawasan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan PKPBersyarat serta PKPPemulihan adalah terhad di mana orang ramai tidak dibenarkan menziarah sesuka hati dan bilangan pelawat dihadkan kepada jumlah kecil dari 20 hingga 25 orang pada 1 Syawal sahaja.
Ini juga bermakna perayaan Aidilfitri pada tahun ini adalah terbatas kepada anggota dan keluarga yang terdekat dalam daerah atau kawasan masing-masing yang dikenakan PKP seperti di Selangor dan Kuala Lumpur.
Manakala solat sunat Aidilfitri dibenarkan dengan bilangan yang kecil tertakluk kepada pematuhan SOP (standard operating procedure) yang ketat yang dikenakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Agama Islam bagi mengelak daripada jangkitan dan memutuskan rantaian jangkitan.
Bagaimanapun, kerajaan telah membenarkan para pelajar universiti meninggalkan kampus mulai Jumaat lepas (7 Mei) untuk pulang ke kampung dengan mematuhi SOP dimana pergerakan mereka diuruskan dengan menggunakan kenderaan universiti yang disanitasi terlebih dahulu, atau pun para pelajar boleh menggunakan kenderaan sendiri atau dijemput oleh ibu bapa mereka di kampus. Mereka tidak dibenarkan sama sekali pulang dengan menaiki kenderaan awam untuk mengelak dari jangkitan. Bagaimanapun pelajar-pelajar ini diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dibenarkan pulang.
Dengan kenaikan mendadak bilangan kes jangkitan akhir-akhir ini ke bilangan 4,000 sehari, dikhuatiri angka ini akan mencecah atau melebihi 5,000 kes sehari pada pertengahan atau hujung Mei, jika kita mengabaikan langkah-langkah perlu bagi membendung kenaikan kes jangkitan, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Keresahan kerajaan dan KKM, terutamanya kebimbangan pihak hospital tidak dapat menyediakan kemudahan perubatan dan memberikan perkhidmatan kepada pesakit COVID-19 memandangkan jumlah jangkitan yang berpotensi meningkat dengan mendadak.
Dapat dirasai kegusaran pihak barisan hadapan KKM terhadap kenaikan bilangan jangkitan yang mendadak yang boleh melemahkan atau melumpuhkan kemampuan anggota barisan hadapan kementerian tersebut menangani pandemik COVID-19 jika bilangan kes jangkitan terus meningkat.
Oleh yang demikian langkah kerajaan menyekat pergerakan orang ramai merentasi daerah dan negeri dianggap paling tepat supaya rantaian jangkitan dapat diputuskan, terutama dengan kemasukan varian baru dari India dan Afrika Selatan yang dikesan baru-baru ini, yang didapati lebih membahayakan orang ramai. Biarlah kita tidak dapat pulang ke kampung asalkan langkah yang diambil ini mampu mengurangkan jangkitan dan memutuskan rantaian jangkitan.
Amaran telah dikeluarkan supaya orang ramai tidak sesekali merentasi daerah dan negeri untuk tujuan aktiviti sosial sepanjang perintah ini berkuat kuasa. Penduduk di kawasan Selangor dan Kuala Lumpur tidak boleh sewenang-wenangnya merentas masuk ke Putrajaya yang dikalsifikasikan kawasan hijau.
Apa yang harus kita lakukan sebagai rakyat yang perihatin dan bertanggugjawab ialah mengamalkan kawalan kendiri dan tidak leka dalam pematuhan SOP. Kita diingatkan sentiasa memakai pelitup muka apabila berada di luar rumah dan sentiasa mencuci tangan dan mengamalkan jarak sosial atau fizikal.
Di saat getir ketika COVID-19 melanda negara, kita seharusnya dapat banyak bersabar dalam menghadapi situasi yang memerlukan semua pihak memahami keadaan ini, dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan dan barisan hadapan dalam usaha kita menangani krisis ini.
Sungguhpun langkah-langkah vaksinasi sedang dijalankan ke atas orang ramai, masih ramai yang belum lagi menerima vaksin atau masih menanti dos kedua. Proses vaksinasi akan terus berjalan untuk semua penduduk menerima vaksin dan proses ini sudah tentu memakan sedikit masa untuk diselesaikan.
Bagaimanapun mereka yang telah menerima vaksin harus juga mengambil langkah berjaga-jaga dan terus mengamalkan SOP. Tidak bermakna mereka mengabaikan pematuhan SOP kerana kita belum mencapai imuniti berkelompok atau “herd immunity”.
Agak perit bagi kita menyambut Aidilfitri dalam keadaan tertekan sebegini. Tetapi itulah hakikat sebenarnya di mana kita harus mengambil langkah berjaga-jaga supaya jangkitan COVID-19 ini dapat dikawal dan ditangani dengan berkesan.
Elak keluar ke tempat yang boleh mendedahkan kita kepada risiko jangkitan dan hentikan daripada menganjurkan rumah terbuka atau aktiviti yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada kita dalam masa perayaan ini dan seterusnya. ***
Photo credit: The Star