Sorotan Auni Zarifah
Mutakhir ini politik negara sekali lagi berubah terutama selepas pilihanraya umum ke-15. Kini tiada lagi mana-mana parti politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Maka membentuk kerajaan perpaduan adalah di antara pilihan yang ada, menggabungkan pelbagai parti politik yang dulunya mempunyai visi dan objektif berbeza. Berikutan keputusan pilihanraya yang agak unik kali ini, pelbagai kemelut politik berlaku bagi membentuk sebuah kerajaan yang akan mentadbir Malaysia untuk lima tahun mendatang. Ini termasuklah siri œmenunggu pembentukan kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri.
Parlimen tergantung (hung parliament) pastinya menjadi salah satu peristiwa yang bakal dikenang dalam sejarah negara apabila majoriti mudah tidak berjaya dicapai oleh mana-mana gabungan parti politik. Atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah, Dato Seri Anwar bin Ibrahim akhirnya dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10. Keputusan berkenaan diambil selepas mengambil kira pandangan raja-raja Melayu lainnya demi kesejahteraan rakyat dan negara. Maka pada 24 November 2022 Dato Seri Anwar Ibrahim secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 (PMX).
Apa yang menarik untuk diperkatakan dan disoroti di sini bukanlah isu pelantikan Perdana Menteri atau perihal parlimen tergantung. Semuanya sudah selesai dan dimuktamadkan. Apa yang menarik bagi sesetengah pihak adalah untuk menyorot personaliti Perdana Menteri ke-10 (PMX) yang gemar bertutur menggunakan Bahasa Malaysia secara teratur dan diselangi istilah-istilah tepat untuk menggambarkan sesuatu keadaan serta maksud. Tutur bahasa dan gaya bicara beliau menjadi tarikan terutamanya di alam maya apabila perkataan-perkataan yang jarang didengar terbit di bibir Dato Seri Anwar Ibrahim.
Sedikit sebanyak perbendaharaan kata dapat diluaskan dan bibit kecintaan terhadap bahasa rasmi negara mula bercambah di kalangan peminat dan pecinta bahasa. Pertama kali setelah dilantik menjadi Perdana Menteri, ucapan Anwar Ibrahim telah menarik perhatian ramai apabila perkataan œcerakin digunakan dalam sidang media selepas mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 pada 27 November 2022 lalu. Perkataan œcerakin digunakan oleh beliau semasa membincangkan isu berkaitan subsidi rakyat mula menjadi sebutan ramai di kebanyakan media sosial. Makna œcerakin mula diperhalusi dan difahami supaya konteks ucapan PMX dapat difahami dengan jitu.
Jika ditelusuri latar pendidikan Dato Seri Anwar Ibrahim, beliau merupakan graduan Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya dan tidaklah janggal untuk beliau berbicara menggunakan perkataan yang jarang didengari selain laras bahasa yang teratur. Bukan perkataan œcerakin sahaja yang memerangkap pendengaran ramai. Terdapat beberapa perkataan yang dituturkan Ahli Parlimen Tambun berkenaan yang menuntut kita untuk menyelak kamus atau melayari internet bagi memahami perkataan tersebut. Beberapa kosa kata digunakan Dato Seri Anwar Ibrahim sebelum dan selepas menjadi Perdana Menteri juga meningkatkan kemahiran berbahasa kita. Dengan itu, beberapa perkataan akan ditelusuri dalam artikel ini sebagai wahana meningkatkn perbendaharaan kata dan memantapkan laras bahasa terutama dalam pertuturan seharian.
Berbicara mengenai isu kemiskinan dalam Konvesyen Keadilan Negeri Johor pada 1 November 2019 lalu, Anwar Ibrahim menggunakan perkataan œkesenjangan yang membawa maksud ketidakseimbangan. Jika kita perhatikan, perkataan kesenjagan jarang digunakan bagi menggambarkan ketidakseimbangan yang berlaku. Acap kali yang kita dengar adalah œketidakseimbangan ekonomi berbanding œkesenjangan ekonomi. Selain daripada itu, ramai mula membiasakan diri dengan perkataan œbobrok menerusi ucapan – ucapan Anwar Ibrahim juga. Dalam membincangkan isu kepincangan sistem pentadbiran negara dan salah guna kuasa para pemimpin, perkataan œbobrok sering beliau gunakan. Bobrok yang membawa erti kerosakan, membuatkan kita memahami bahawa betapa pentingnya peduli terhadap nasib tanah air dan mengelak rakyat daripada diperintah oleh pemimpin yang tidak amanah.
Baru-baru ini, perkataan œ wewenang juga mendapat sorotan di media maya apabila Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan turut mengungkapkan perkataan tersebut menerusi sidang media Mesyuarat Kabinet Pertama Kerajaan Perpaduan di Putrajaya pada 5 Disember 2022. Mesyuarat berkenaan bagi menjelaskan kuasa Yang Di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri. Pada sidang media itu juga, Anwar Ibrahim menggunakan istilah œkeabsahan apabila berbicara mengenai kredibiliti insitusi diraja dan keluhuran perlembagaan. Bukan terhenti di situ, malah beberapa nama kementerian turut diubah dengan penambahan seperti œketerjaminan makanan, œkomunikasi digital, œreformasi institusi dan sebagainya.
Ternyata masih banyak kosa kata yang perlu kita gali dan manfaatkan penggunaannya agar pengucapan bahasa kita lebih menarik dan bernada segar. Keindahan bahasa itu bukan lah terletak pada betapa puitis kita berbicara, tetapi pada laras bahasa yang disandarkan dengan adab dalam bertutur. Fasih berbicara sahaja belum mencukupi jika bersikap membataskan diri daripada menambah kosa kata. Jika dilihat pada hari ini, kita lebih selesa menggunakan perkataan bahasa Inggeris seperti œviral berbanding tular bagi membincangkan isu-isu yang sedang hangat diperkatakan. Maka, dengan luasnya kosa kata yang kita miliki, kita tidak perlu bergantung kepada bahasa asing untuk melengkapkan makna pengucapan apabila bertutur.
Akhir kata, mendengar ucapan PMX ibarat menyelam sambal minum air. Dengan makna yang lain, rakyat bukan sahaja dapat mengetahui perkembangan politik negara dari masa ke semasa malah dalam waktu yang sama mereka juga berupaya mendalami pelbagai kosa kata bahasa Melayu yang jarang didengar sebelum ini. Moga lebih ramai pemimpin politik dan pemimpin masyarakat menuruti langkah yang sama kearah menjayakan bahasa Melayu sebagai bahasa peradaban yang pernah menjadi bahasa lingua-franca di kepulauan Melayu suatu masa dahulu. Bahasa adalah cerminan jiwa bangsa. Jiwa yang besar terpamer pada pengucapan bahasa yang segar.***