Dos Penggalak Terbukti Berkesan Tingkatkan Sistem Imunisasi

Sorotan Shahanim Shafee 

Sebelum ini, Malaysia digemparkan dengan kemunculan varian baharu COVID-19 iaitu varian Omicron. Seperti yang telah dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), varian ini dapat merebak dengan kadar yang lebih pantas berbanding varian lain. Namun, belum pun varian Omicron ini reda, baru-baru ini negara kita dikejutkan kembali dengan kemunculan varian terbaru COVID-19 iaitu varian Deltacron. Varian baru Deltacron ini dipercayai telah ditemukan oleh para saintis di Cyprus. Terdapat sebanyak 25 kes telah dikesan disebabkan oleh varian ini. Memetik laporan yang telah dibuat oleh Bloomberg, varian ini dipercayai merupakan gabungan antara varian Delta dan Omicron. 

Seterusnya, menurut Buletin Agenda Awani, negara kita telah memulakan pemberian dos penggalak bagi memerangi penyakit yang disebabkan oleh varian baharu COVID-19. Dos penggalak ini juga dikatakan dapat membantu sebagai benteng sistem imunisasi kepada tubuh badan seseorang.  Menerusi temubual bersama Dr. Diana Mahat, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), beliau membincangkan kesan pengambilan dos penggalak kepada tubuh badan, kepentingan pengambilan dos penggalak serta faktor penolakan pengambilan dos penggalak ini oleh segelintir masyarakat.

Menurut Dr. Diana, pemberian dos penggalak fasa satu telah dimulakan semenjak 13 Oktober tahun lalu dan telah diberikan kepada golongan warga emas, anggota kesihatan dan petugas barisan hadapan ataupun frontliner. Setelah itu, pemberian dos penggalak fasa dua kepada semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun dan keatas yang telah mendapatkan dos lengkap. Turut dibahaskan oleh beliau, tujuan pemberian dos penggalak ini adalah untuk meningkatkan perlindungan kepada jangkitan virus COVID-19 sekaligus ia dapat mengekalkan tahap imunisasi dalam badan. Selain itu, beliau menambah bahawa vaksin dos penggalak ini dapat mengurangkan komplikasi yang disebabkan oleh penyakit COVID-19. 

Selain itu, beliau juga menambah kepentingan pengambilan dos penggalak dapat merangsang tubuh badan seseorang itu untuk menghasilkan dan meningkatkan antibodi yang lebih banyak. Apabila antibodi dalam badan meningkat atau berada dalam tahap yang optimum, ia dapat mencegah jangkitan dan sekiranya seseorang itu dijangkiti virus COVID-19, antibodi dalam badan berupaya bagi melawan jangkitan COVID-19 tersebut.

œSebanyak 8.6 juta iaitu bersamaan dengan 36% daripada total populasi dewasa negara telah menerima dos penggalak, tambah beliau. Namun begitu, masih terdapat segelintir masyarakat yang berkeras menolak dan enggan  menerima dos penggalak ini. Hal ini turut disentuh oleh Dr. Diana. Tambahnya, hal ini berlaku kerana mereka masih ragu-ragu dengan keberkesanan vaksin dos penggalak. Selain itu juga, ramai dalam kalangan mereka yang menolak untuk menerima suntikan dos penggalak risau dengan kesan sampingan yang akan mereka rasai, sepertimana kebanyakan berlaku pada suntikan dos pertama dan kedua sebelum ini.

Bukan itu sahaja, beliau juga turut berkongsi hasil dapatan kajian penerimaan dos penggalak yang dijalankan oleh pihak KKM. Antara sebab mengapa penerima suntikan dos pertama dan kedua menolak untuk mengambil dos penggalak adalah disebabkan segelintir daripada  mereka mahukan jenis vaksin yang berbeza daripada yang ditetapkan oleh KKM dalam aplikasi MySejahtera. Selain itu, mereka risau dengan keberkesanan dan keselamatan dos penggalak. Namun masih ramai yang bersetuju untuk mendapatkan doa penggalak iaitu sebanyak 70 peratus mahu untuk menerima suntikan dos penggalak dan ini merupakan perkembangan yang positif.

Seterusnya, menurut kajian yang telah dilakukan oleh Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), selepas tiga hingga enam bulan selepas seseorang itu mendapatkan dos lengkap, mereka akan terdedah kepada lima  peratus  kadar jangkitan virus COVID-19. Menurut kajian dalam dan luar negara, semakin lama tempoh seseorang itu mendapatkan dos lengkap, semakin tinggi tahap kemungkinan dijangkiti virus COVID-19. Oleh itu, negara bersetuju untuk mempercepatkan pemberian dos penggalak kepada semua rakyat Malaysia kerana ia dapat membantu masyarakat dalam memerangi penyakit yang disebabkan oleh virus COVID-19 ini. Negara seperti USA, UK dan China juga telah lama memulakan program pemberian dos penggalak kepada rakyat mereka. 

Di samping itu, Dr. Diana turut menambah bahawa pihak KKM menjalankan dua cara pemberian dos penggalak. Kaedah pertama ialah secara homologous iaitu pemberian vaksin dos penggalak daripada jenis yang sama dan yang kedua secara heterologous iaitu pemberian vaksin daripada jenis yang berlainan. Pemberian dos penggalak secara homologous seperti Sinovac dan Pfizer telah dibuktikan keberkesanannya sebanyak 90 peratus lebih baik. Pihak KKM juga telah meluluskan empat jenis vaksin yang selamat digunakan iaitu vaksin dari jenis Pfizer, AstraZeneca, Sinovac dan juga CanSino. 

Di penghujung bual bicara berkenaan, Dr. Diana sekali lagi berharap dengan pembukaan empat buah Pusat Pemberian Vaksin Integrasi (PPV Integrasi) di Lembah Klang yang akan mula beroperasi bermula 15 Januari nanti dapat meningkatkan jumlah harian pemberian vaksin dos penggalak. Empat buah PPV Integrasi bakal dibuka di Putra World Trade Centre (PWTC), Axiata Arena Bukit Jalil, Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam dan Soka Gakkai di Klang. Dengan pembukaan PPV Integrasi ini dapat menampung kapasiti sehingga 23,000 penerima vaksin. 

Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab haruslah mengambil dos penggalak seperti yang telah disarankan oleh pihak KKM bagi memastikan keselamatan sejagat. Dengan mengambil dos penggalak, kita bukan sahaja dapat melindungi diri kita sendiri daripada virus COVID-19, bahkan juga kita dapat melindungi orang tersayang. Bersama kita bahu membahu menggembleng tenaga bagi membantu negara dalam mengurangkan kes harian COVID-19 di negara kita. Justeru itu, bersamalah kita lindungi diri, lindungi keluarga, dan lindungi Malaysia yang tercinta. ***

Leave a Reply