Banjir Merubah Nilai Kemanusiaan dan Perpaduan Kita

Sorotan Ashraf Idzham 

Hari ini rakyat negara kita sedang menyatukan hati mereka atas nama satu bendera dan keluarga, untuk saling membantu mangsa-mangsa banjir terutama di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Semangat kesukarelawanan yang dipamerkan ini secara langsung telah memupuk semangat perpaduan di kalangan pelbagai kaum dan penganut agama. Ia sekaligus menyemai semangat kemanusiaan dan keprihatinan yang tinggi dalam diri setiap orang yang sanggup turun ke lokasi dan membantu. Malah sumbangan kewangan dan keperluan tidak pernah putus sehingga kini daripada masyarakat Malaysia yang prihatin.

Dari segi definisi, sukarelawan membawa maksud orang melakukan kerja amal atau kebaikan tanpa mengharapkan faedah dan imbuhan daripada orang lain. Kesukarelawanan adalah aktiviti yang dikaitkan dengan usaha kebajikan terhadap individu atau kumpulan yang memerlukan. Harus disedari yang bantuan itu tidak hanya melibatkan sumber tenaga kerja mahupun kewangan,  namun ia juga terkait dengan persoalan pendidikan, kesihatan dan juga ekonomi.

Sukarelawan adalah hero yang tidak didendang, tiada seragam untuk dipakai namun bakti mereka kepada orang yang memerlukan tiada yang dapat diganti. Masa, tenaga dan duit dihabiskan untuk memastikan mereka yang memerlukan bantuan itu dapat dibantu dengan selayaknya. 

Tatkala negara diuji dengan bencana alam banjir baru-baru ini, banyak organisasi secara rasmi atau tidak rasmi telah menyatukan setiap warga negara ini untuk turun dan membantu menjadi sukarelawan.

Pendekatan ini seolah-olah menyokong konteks dan aspirasi negara berkaitan kesejahteraan dan perpaduan negara agar nilai-nila keluarga seperti kasih sayang, toleransi dan empati diperkasakan. Hal ini turut sama mendukung Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang inginkan negara ini membangun dengan nilai perpaduan dan penyatuan bangsa, negara dalam konteks sebuah negara. 

Pembentukan komuniti yang bersatu yang terdiri dari pelbagai latar belakang bukanlah suatu yang mudah namun semangat sukarelawan secara tak langsung menyemai semangat perpaduan itu. Hari ini, kita dapat melihat golongan komuniti Sikh menyumbang tenaga untuk memasak untuk mangsa banjir dan juga sekumpulan pelajar bersama-sama membantu membasuh dan membersihkan kuil Hindu yang terjejas. Begitu harmoni dan bersatunya kita pada saat dan ketika ini, kearah memupuk pembangunan yang lebih lestari.

Sehingga saat ini ramai anak muda sudah turun ke tempat-tempat yang dilanda banjir terutama daripada golongan mahasiswa yang turun untuk menyumbang tenaga untuk membantu membersihkan rumah kediaman dan lot kedai yang terjejas dek banjir lumpur.

Membawa slogan œMahasiswa untuk Masyarakat akan memberi persepsi bahawa mahasiswa sedia untuk menyumbang kepada masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan pelbagai tempat dan latar belakang.

Sumbangan golongan mahasiswa ini secara tidak langsung memberi perspektif dan persepsi baharu kepada masyarakat yang golongan mahasiswa bukanlah sekadar terperuk dengan buku dan nota kuliah. Ia memberi gambaran golongan mahasiswa adalah golongan yang sedia berkhidmat kepada masyarakat walaupun terpaksa mengorbankan masa dan tenaga mereka. Semangat inilah yang kita mahukan daripada golongan bakal pemimpin negara. NGO apatah lagi. Terus mencari lokasi untuk dibantu.

Sukarelawan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Insan adalah seorang yang ada nilai empati, simpati dan juga nilai kebaikan yang hadir daripada hati. Itulah jiwa keinsanan.  Saat ini tak semua ada nilai empati dan simpati itu kerana sifat ini akan melahirkan golongan yang mahu dan sedia berkhidmat untuk orang lain.

Semangat sukarelawan secara tak langsung telah memanusiakan diri mereka kerana mereka dapat belajar tentang sifat empati dan simpati terhadap mangsa-mangsa yang terjejas. Pastinya setiap ahli sukarela akan menitiskan air mata melihat keadaan dan suasana dengan mata mereka sendiri. 

Sedarilah menjadi sukarelawan itu tidak mudah dan melelahkan namun melihat keadaan mangsa yang kehilangan tempat tinggal, harta benda dan ada yang kehilangan ahli keluarga pasti kita terasa hiba dan pilu. Tertanya-tanya bagaimana mereka ini mahu teruskan hidup tanpa sokongan daripada kita yang berada di sekeliling.

Bukan sahaja sumbangan tenaga dan kewangan diperlukan, namun mereka ini perlukan juga sokongan moral. Tidak mudah untuk mereka ini melaluinya tanpa kita. Ingatlah bulat air kerana pembetung dan bulat masyarakat kerana muafakat.

Bersatu padunya rakyat Malaysia hari ini menunjukkan kita masih berpegang teguh atas nama rakyat Malaysia yaang cintakan keamanan dan perpaduan. Jika sebelum ini kita sering dimomokkan dengan isu perkauman yang makin menjarakkan perpaduan kaum, namun bencana banjir kali ini berjaya membuktikan sisi perpaduan dan nilai kemanusiaan kita masih kuat sebagai Keluarga Malaysia.

Hari ini kita berdiri bangga kerana cabaran dan ujian yang menimpa ini masih menyatukan kita semua. ***

Leave a Reply