Oleh Auni Zarifah
Bagi peminat drama dari negara Korea Selatan atau K-drama pastinya tidak asing lagi dengan satu isu yang sering diketengahkan menerusi layar perak negara tersebut. Aktivis seni mereka kelihatan sering membahaskan isu rasuah sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam karya-karya seni perfileman mereka. Kebebasan berkarya yang dinikmati penggiat seni Korea Selatan membolehkan isu rasuah dan pecah amanah bebas untuk dibahaskan, apatah lagi dalam bentuk genre kreatif ke arah mendidik masyarakat.
Hal-hal berkaitan korupsi dan rasuah tidak hanya terhad dibincangkan dalam drama yang berlatarkan dunia politik dan kemaruk kuasa. Sisi gelap dunia korporat yang melibatkan pecah amanah para ahli lembaga pengarah sehingga membebankan para pekerja dinukilkan secara bersahaja dan santai menerusi drama Good Manager. Manakala kesan rasuah dan pecah amanah yang akhirnya menjejaskan kesihatan orang awam berjaya dipersembahkan secara halus menerusi drama Chimera, satu lagi drama terkini buat tontonan umum.
Kebobrokan ahli politik dalam menindas rakyat dengan œufti yang tidak masuk akal dan manipulasi ekonomi menerusi rasuah dan pecah amanah juga menjadi paksi utama drama berlatarkan kisah Dinasti Joseon, Mr. Queen. Menerusi drama Sky Castle, rasuah dalam dunia pendidikan yang akhirnya menidakkan peluang sama rata dalam pendidikan, di antara mereka yang lahir di kalangan keluarga berada dan golongan marhaen berjaya diketengahkan. Rasuah juga menjadikan nyawa rakyat sebagai taruhan hasil korupsi ahli politik digarap kemas menerusi drama Vagabond.
Melalui contoh karya drama dan filem Korea Selatan, banyak yang boleh dipelajari bagaimana amalan rasuah dan pecah amanah secara jelas merosakkan masyarakat. Sayangnya, isu-isu seperti ini jarang diketengahkan dalam drama dan filem di tanah air kita. Barangkali isu-isu seperti ini agak sensitif dibincangkan secara terbuka apatah lagi menjadi tema untuk sesuatu karya kreatif.
Satu hal yang pasti, seni mengambarkan masyarakat dan mengandungi elemen kritik sosial yang berkesan. Jika melihat masyarakat kita pada hari ini, isu rasuah bukanlah satu perkara yang asing bagi kita. Namun, amatlah menyedihkan di tanah air kita ini, seolah-olah rasuah itu adalah hal yang biasa. Apa yang lebih menggerunkan adalah, apakah rasuah ini dianggap sebagai satu budaya nantinya.
Mengulas lanjut mengenai hal tersebut Dr. Maszlee Malik selaku mantan Menteri Pendidikan menyatakan hilang rasa malu adalah punca rasuah bermaharajalela dalam masyarakat Malaysia pada hari ini. Katanya rasuah malah menjadi isu sosial yang seolah-olah bersistematik dan diwarisi.
Menerusi Forum Khas œKorupsi dan Hipokrasi dalam Politik Melayu-Islam anjuran Sinar Harian pada 16 Disember lalu, Dr. Maszlee menyatakan bahawa sekarang jika kita lihat orang kita tidak segan silu mengambil wang, menerima rasuah dan mencuri dan mereka juga malas bekerja. Dr. Maszlee juga mengetengahkan nilai perasaan malu sangat dititikberatkan dalam budaya masyarakat lain seperti mana wujudnya amalan membunuh diri bagi menyelamatkan diri daripada aib. Amalan yang dikenali sebagai sepukku atau hara kiri membuktikan bahawa betapa tegasnya masyarakat Jepun dalam mengendalikan perasaan malu.
Namun dalam kalangan masyarakat Melayu, Dr. Mazlee berpendapat bahawa perasaan malu ini bukanlah tidak wujud dalam kamus kehidupan mereka tetapi saban hari perasaan tersebut semakin terhakis dan akhirnya hanya tinggal sebagai sebuah perkataan. Kepesatan arus modenisasi dan ketaksuban mengejar kemewahan menjadikan masyarakat Melayu sudah tidak peduli pada rasa malu yang menjadi budaya sejak zaman nenek moyang mereka lagi. Lebih membimbangkan lagi apabila rasuah ini disadur dengan perkataan yang lebih indah didengar seperti hadiah atau cenderahati penghargaan.
Dr. Maszlee juga mengatakan bahawa pegawai kerajaan yang menerima rasuah bagi meluluskan tender atau projek sepatutnya berasa malu dengan tindakan tersebut. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Mereka malah berbangga apabila dapat membeli rumah mewah, kereta mewah dan barangan mewah lainnya. œAkhirnya wujud budaya persaingan bagi menunjuk kemewahan dan akhirnya rasuah menjadi satu budaya dalam masyarakat kita, ujar Dr. Maszlee lagi.
Sifat tamak haloba dan inginkan lebih lagi bakal mengancam kita jika sifat malu mula terhakis, lantas isu rasuah dan salah guana kuasa ini dapat dihapuskan andai sifat malu dihidupkan semula dalam jati diri masyarakat Melayu.
Forum yang diadakan serentak dengan majlis pelancaran buku Prof. Tan Sri Mohd Kamal Hasan yang berjudul, Corruption and Hypocrisy in Malay Muslim Politics juga menampilkan Prof. Kamal sebagai tetamu khas.
Menurut Prof. Kamal, hilangnya rasa malu ini adalah kerana kurangnya nilai tauhid dalam diri individu. Maka, perasaan malu itu terhakis kerana tiada rasa bertanggunggjawab terhadap amanah Tuhan. Aspek rohani yang mula samar apabila masyarakat sibuk mengejar materialisme menjadikan sifat ini hilang, sekaligus jati diri semakin goyah. Maka, tidak lain tak bukan untuk menangani isu rasuah dan salah guna kuasa, perasaan malu dan nilai ketuhanan perlu dijunjung oleh setiap individu tanpa mengira agama dan bangsa.
Memetik kata-kata Sasterawan Negara Usman Awang menerusi sajaknya yang berjudul Jiwa Hamba, pernah diungkapkan: œDi atas robohan Kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka. Namun, apakah benar jiwa kita sudah merdeka andai rasuah dibimbangi berdarah daging dalam masyarakat yang bercita-cita menuju negara maju?***