Mengenang Kembali Penerbitan Daftar Istilah Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa

Oleh Aznan Mat Piah 

Menghasilkan daftar istilah bukanlah satu kerja mudah. Ia merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang menagih tumpuan minda, keringat, kesungguhan dan kerjasama banyak pihak.

Semasa saya bertugas sebagai Pengarah Penerangan Luar Negeri di Kementerian Luar Negeri (KLN), sekembalinya dari berkhidmat di London dalam tahun 1996, saya dimaklumkan bahawa Menteri Luar Negeri ketika itu (Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah) telah mengeluarkan arahan supaya KLN mengeluarkan buku mengenai istilah diplomasi dan hubungan antarabangsa.

Sebenarnya, arahan berkenaan telah disampaikan kepada mantan Pengarah Penerangan Luar Negeri sebelum saya, tetapi masih tertangguh dan belum dapat dilaksanakan. Ia memerlukan bukan setakat inisiatif dan idea tetapi juga kerjasama dan kesungguhan semua pihak samada di dalam mahu pun  di luar kementerian. Ia termasuklah kerja-kerja mengumpul, membincang, membahas dan menggubal istilah-istilah yang berkaitan.

Dalam satu mesyuarat pengurusan kementerian yang saya hadiri, Pak Lah telah sekali lagi menimbulkan perkara berkaitan penerbitan buku istilah berkenaan. Beliau mahu supaya inisiatif itu diteruskan kerana menurutnya, KLN bertanggungjawab bagi memenuhi keperluan akademik dan keperluan rujukan media massa secara tepat mengenai urusan diplomasi dan hubungan antarabangsa.

Berikutan cadangan Menteri Luar berkenaan, Ketua Setiausaha KLN ketika itu, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad, telah mengeluarkan arahan supaya penerbitan buku istilah tersebut dilaksanakan. Dua jawatankuasa telah ditubuhkan di kementerian bagi tujuan pelaksanaan penerbitan, iaitu Jawatankuasa Induk di bawah Ketua Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDHL), Encik Ahmad Fuzi Hj. Abdul Razak (sekarang bergelar Tun setelah dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang) manakala jawatankuasa berikutnya merupakan jawatankuasa kecil yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha 1, Dato’ Ghazzali Sheikh Abdul Khalid. 

Sebagai Pengarah Penerangan Luar Negeri di KLN yang bertanggungjawab mengumpul senarai istilah diplomasi dan hubungan antarabangsa, saya dilantik menduduki jawatankuasa induk.

Pihak KLN juga telah mendapatkan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan tiga buah universiti tempatan, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) di samping penglibatan pakar-pakar IDHL secara langsung.

Antara yang menduduki jawatankuasa itu ialah Hajah Noresah Baharom dari Bahagian Istilah DBP, Prof. Dr. Zakaria Hj. Ahmad dan Dr. Kamarulnizam Abdullah (sekarang Professor) dari UKM, Prof. Madya Zainab Majid dari UM serta Dr. Mohd Zainul Fithri Dato’ Hj. Osman dari USM (yang ketika itu baru sahaja menamatkan pengajian peringkat Doktor Falsafah di London).

Beberapa perbincangan awal dan bengkel peristilahan telah diadakan di bawah kelolaan Encik Ahmad Fuzi Razak dan proses berkenaan berlangsung selama beberapa bulan. Hasilnya sebuah buku daftar “Istilah Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa” telah diterbitkan dalam tahun 1998. Pelancarannya dilakukan oleh Menteri Luar sendiri, Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi. Buku ini yang diterbitkan oleh DBP dalam tahun 1998 mengandungi 2,096 istilah sumber (Bahasa Inggeris) dan 2,262 istilah sasaran (Bahasa Melayu).

Menurut Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Aziz Deraman dalam prakata penerbit, kejayaan menerbitkan buku berkenaan bakal menambahkan khazanah buku istilah pelbagai bidang dalam bahasa Melayu untuk keperluan semua peringkat pengguna. 

“Jika bahasa Melayu terbukti dapat mengungkapkan pelbagai konsep terkini dalam bidang sains dan teknologi, pengungkapan konsep penting dalam bidang Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa dengan mengggunakan bahasa Melayu sebagai wahana, tentulah tidak terkecuali,” katanya.

Secara peribadi, saya sendiri kagum dengan kesungguhan jawatankuasa induk yang diterajui oleh Encik Ahmad Fuzi Razak (kini bergelar Tun). Mereka melaksanakan kerja dengan penuh komited dan terlibat dalam beberapa siri bengkel yang diadakan secara berterusan, bagi mendapatkan terjemahan dan interpretasi terma-terma dan istilah tertentu dengan tepat.

Semua yang terlibat telah menyumbang tenaga dan kepakaran masing-masing untuk membahaskan, mengesahkan dan menggubal istilah daripada senarai istilah asal yang terkumpul. Saya masih ingat dalam siri bengkel yang diadakan itu suhu perbincangan juga menjadi panas dan tegang apabila terdapat pertelingkahan pendapat tentang pemilihan perkataan atau frasa yang tepat pada sesuatu istilah atau konsep hubungan antarabangsa yang dibahaskan itu.

Sementara itu, Datuk Ghazzali Sheikh Khalid menyatakan dalam prakata buku berkenaan bahawa penghasilan daftar istilah itu bakal memberi faedah kepada pengamal diplomasi. 

“Penerbitan daftar ini merupakan sebahagian daripada sumbangan kami (KLN) kepada usaha pengembangan bahasa Melayu,” ujarnya.

Manakala Encik Ahmad Fuzi Razak pula menganggap pelantikannya sebagai pengerusi jawatankuasa induk bagi tujuan menggubal dan menyelaraskan istilah diplomasi dan hubungan antarabangsa sebagai satu amanah dan tanggungjawab penting.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada jawatankuasa induk atas kerjasama dan usaha gigih dalam menyelesaikan tugas penggubalan yang diamanahkan dalam jangka masa yang ditetapkan. Beliau menyebut bahawa sebanyak 12 bengkel berturut-turut telah diadakan dari 20 Mac hingga 7 April 1998.

Dalam Kata Pengantar, Menteri Luar Negeri menyifatkan daftar istilah ini bukan sahaja penting sebagai rujukan dan panduan kepada pengamal diplomasi malah juga berguna kepada media massa, pengkaji, para pelajar serta masyarakat umum. 

Di samping memberikan sumbangan kepada usaha pengembangan dan pendaulatan bahasa Melayu, daftar istilah ini juga akan membantu memperdalam kefahaman masyarakat dalam bidang diplomasi dan hubungan antarabangsa. Sesungguhnya, penerbitan daftar istilah ini tepat pada masanya dengan peranan diplomasi dan hubungan antarabangsa yang semakin penting dalam kehidupan harian masyarakat Malaysia. 

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri lagi, hampir setiap peristiwa yang berlaku di dunia pada hari ini boleh dianggap sebagai isu antarabangsa yang memerlukan perhatian negara, baik isu politik, keamanan, keselamatan, pembangunan dan kemiskinan, mahupun isu hak asasi manusia, persempadanan, tenaga nuklear, budaya, ekonomi, alam sekitar, mahupun sukan. Sudah tentu daftar istilah ini boleh membantu masyarakat Malaysia mendalami kefahaman isu-isu antarabangsa yang secara langsung mempunyai hubung kait dengan kehidupan harian mereka.

Sebagai kakitangan kementerian yang terlibat secara langsung dengan penerbitan buku daftar istilah ini, saya dapati bidang diplomasi dan hubungan antarabangsa adalah dinamik dan sentiasa berubah. Isu-isu dan tindak-tanduk diplomasi serta corak kerjasama hubungan antara negara juga sentiasa berkembang secara pantas. Sudah tentu istilah dalam bidang ini akan terus bertambah dan perlu dikembangkan dari masa ke semasa. 

Oleh itu, daftar ini juga perlu dikemaskinikan dan ia memerlukan perhatian dan kerjasama banyak pihak seperti cendekiawan, pakar-pakar dalam bidang diplomasi, para pelajar jurusan hubungan antarabangsa, pakar bahasa dan pihak media. 

Menoleh ke belakang, saya  merasakan keterlibatan saya dalam usaha menerbitkan daftar istilah tersebut sedikit sebanyak menyumbang kepada usaha memperbaiki diri, memperluaskan pengetahuan dan menambah pengalaman dalam bidang diplomasi dan hubungan antarabangsa. Justeru, inisiatif ini yang diterajui oleh KLN perlu diteruskan dan mendapat kerjasama semua pihak yang mahu melihat Malaysia terus relevan di persada antarabangsa.. ***

Leave a Reply