Tangani kemusnahan alam sekitar secara bijaksana

Oleh Amirah Yasmin

Marilah kita sama-sama renungkan sejenak akan fenomena alam yang kita sama-sama diami kini. Adakah cuaca hari ini bahang? Suhu yang panas dan melampau seringkali melanda kebanyakan negara sehingga membawa kepada kebakaran dan kemusnahan hasil tanaman dan hasil hutan. Malah membawa bersama kemusnahan flora dan fauna serta hidupan liar di rimba. Saling berganti dengan suhu panas melampau adalah musim tengkujuh yang tidak terperikan. Hujan yang turun dengan lebat dan mencurah-curah kini makin kerap berlaku, sehingga mengakibatkan banjir dan tanah runtuh. Petaka alam demi petaka alam.

Pernahkah kita terfikir punca keadaannya sebegitu? Jawapannya mudah, dunia ditelan perubahan iklim. Menurut Jabatan Meterologi Malaysia, fenomena ini ialah perubahan iklim yang disebabkan secara langsung atau tidak langsung oleh aktiviti manusia yang mengubah komposisi atmosfera global. Fenomena ini merupakan tambahan terhadap kepelbagaian iklim semulajadi untuk tempoh masa yang panjang.

Rentetan kajian para saintis, perubahan iklim disebabkan oleh peningkatan gas karbon dioksida di udara. Pada asalnya, gas ini berfungsi untuk meningkatkan suhu bumi. Tanpa karbon dioksida ataupun CO2, bumi ini akan menjadi terlalu sejuk untuk didiami oleh golongan manusia. Namun begitu, aktiviti-aktiviti golongan manusia yang diamanahkan untuk menjadi khalifah di atas muka bumi ini umpama œharapkan burung pegar, tapi pegar yang makan padi. Manusia dengan rakus merosakkan alam dan tindak-tanduk mereka mengakibatkan penambahan karbon dioksida di atmosfera sekali gus meningkatkan suhu alam sekitar. Gas karbon dioksida tergolong daripada gabungan gas hasil kesan rumah hijau seperti yang diterangkan oleh Jabatan Meteorlogi Malaysia. Antara gas-gas lain yang terhasil daripada kesan rumah hijau ialah wap air, metana, dan nitrus oksida.

Bagi membendung peningkatan haba mendadak, Allah SWT menciptakan lapisan ozon bagi menapis sinaran ultraungu daripada matahari yang amat membahayakan. Sayang sekali, pembebasan gas kloroflurokarbon berlaku daripada aktiviti manusia seperti penggunaan pendingin hawa dan peti sejuk. Oleh sebab ingin hidup di ruang yang dingin, alam sekitar dikorbankan dan sekaligus membawa kepada bahang perubahan iklim.

Memandangkan perubahan iklim ini terjadi akibat tangan manusia sendiri, ayuhlah kita bersatu supaya fenomena ini dapat kita bendung. Terdapat pelbagai kaedah yang boleh dilakukan ke arah mengurangkan kepanasan global. 

Kurangkan penggunaan elektrik

Sebagai generasi abad ke-21, penggunaan elektrik sudah tentu menjadi sebati dalam diri kita. Meskipun tenaga itu diperlukan dalam menjalani aktiviti seharian seperti menghadiri kelas atas talian, kita boleh berusaha untuk mengurangkan penggunaan elektrik dalam aktiviti-aktiviti lain seperti memadam lampu yang tidak diperlukan pada ruang dan masa-masa tertentu.

Dalam pada itu, pemilihan perkakas elektrik juga penting dalam mengurangkan sumbangan kita terhadap perubahan iklim. Walaupun kita tak mampu untuk menghentikan penggunaan elektrik secara keseluruhannya, usaha kita untuk mengurangkan sandaran kita terhadap penggunaan tenaga secara berlebihan boleh membantu dalam pembendungan perubahan iklim.

Membeli pakaian tahan lama

Semestinya kebanyakan daripada kita berminat untuk membeli pakaian baharu apatah lagi sejak kewujudan aplikasi perniagaan atas talian seperti Shopee yang memudahkan urusan jual beli pada harga  murah. Namun, pembelanjaan yang agak boros boleh mengakibatkan pembuangan sampah secara berlebihan kerana mutu kain yang rendah dan kehilangan minat pada pakaian berkenaan dalam tempoh yang panjang.

Di samping akses kepada pusat pembelian pakaian murah, pengaruh media sosial juga memberi impak terhadap gaya pembelian pakaian. Oleh sebab mengejar gaya terkini, kita akan terpengaruh untuk membeli baju baharu meskipun pakaian-pakaian sedia ada sering dibiarkan berhabuk di dalam almari.

Kegiatan ini membimbangkan kerana pakaian-pakaian yang dibuang akan meningkatkan kadar pembuangan sampah yang bakal membebaskan gas metana sebagai satu penyumbang kesan rumah hijau dan perubahan iklim. Tambahan pula, pengoperasian kilang secara mendadak akibat peningkatan permintaan daripada pengguna menghasilkan gas-gas berbahaya yang mencemarkan alam sekitar.

Bangkitkan suara membendung perubahan iklim

Sudah tentu kita sebagai rakyat marhaen tidak mempunyai kebolehan untuk membuat keputusan seperti pada tahap pelaksana polisi dalam sesebuah negara yang ada pengaruh membentuk dasar dan undang-undang. Apa pun kita tidak boleh berputus asa dalam bersama membawa kenaikan dan kemakmuran kepada negara. Suarakan kebimbangan anda di media sosial atau mana-mana ruang yang mampu memancarkan keresahan kita akan perubahan iklim. Bangkitkan kesedaran untuk menyelamatkan bumi. Apabila masyarakat mula cakna, sedikit demi sedikit dapat kita kurangkan pembebasan gas-gas berbahaya yang menjadi punca pencemaran alam sekitar dan perubahan iklim pada masa kini.

Akhir kata, hidup mati alam sekitar bergantung kepada tindak-tanduk manusia si penghuni bumi itu sendiri. Dalam pelbagai alasan meremehkan isu iklim yang orang cipta, hanya satu yang saya pinta. Ayuhlah kita bersama-sama membanteras kegiatan negatif perubahan iklim sedikit demi sedikit agar kita satu hari dapat duduk menghayati udara nyaman dunia yang kembali pulih.***

Leave a Reply