Memperkasa Keluarga Malaysia Melalui Penghayatan Sejarah

Oleh Auni Zarifah

Mencapai kemerdekaan dan menghayati erti kemerdekaan tidak semudah bibir berbicara. Sebagai sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk, mengecapi kemerdekaan menuntut kesepaduan kaum dan kerjasama antara kaum. Namun, isu perkauman seringkali dijadikan sebagai sandaran dan modal utama dalam ketegangan kaum yang berlaku di negara kita. Sebagai rakyat Malaysia, kita menyaksikan tanah air kita sudah merdeka selama 64 tahun, hasil keringat datuk nenek moyang kita memperjuangkannya. Namun apakah kita benar-benar menghayati erti kemerdekaan dalam rangka membina objektif keluarga Malaysia seperti yang dilaungkan kepimpinan negara?

Lipatan sejarah membuktikan bahawa mencapai kemerdekaan bukanlah usaha yang mudah. Ia adalah jihad yang bersulamkan air mata dan darah. Namun yang menjadi persoalan sehingga kini, mengapakah masih ada rakyat Malaysia yang tidak memahami dan mengingati, apatah lagi menghayati pencapaian negara dalam mencapai dan mengisi kemerdekaan. Gagal menghargai semua ini boleh membawa kepada kesenjangan serta ketidakstabilan antara kaum.

Felo utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong berpendapat sejarah perlu dihayati dengan sebaiknya sebagai pemangkin semangat nasionalisme dan cintakan negara. Katanya, sejarah Malaysia perlu ditelusuri di antara sejarah politik, sejarah sosial dan sejarah budaya. Pada hari ini, sejarah negara kita lebih tertumpu kepada sejarah politik sahaja.

Bercakap dalam program Bicara Naratif  terbitan Radio and Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini, Profesor Teo berpendapat bahawa sejarah sosial warganegara Malaysia, termasuk sejarah budaya mereka, harus juga diberi penekanan. “Apabila aspek penghayatan sejarah yang seimbang dapat dibangkitkan di kalangan rakyat, pastinya sentimen nasionalisme dan ketinggian jatidiri boleh dipupuk di kalangan rakyat, dan sekaligus warisan bangsa dapat kita tegakkan,” katanya.

Ujar beliau lagi, penghayatan terhadap sejarah bagi membangkitkan semangat nasionalisme perlu diterapkan menerusi penambahbaikan pengajaran sejarah itu sendiri. Pembelajaran dalam matapelajaran sejarah perlulah diteliti agar tidak dianggap sebagai satu matapelajaran yang membosankan.

Beliau juga mencadangkan agar matapelajaran sejarah diajar secara lebih interaktif bagi menarik minat kanak-kanak terhadap mata pelajaran berkenaan. Kaedah menerusi lakonan dan lawatan ke tapak bersejarah samada secara bersemuka atau maya boleh dilaksanakan. Apa yang penting mereka menemui fakta sejarah itu sendiri dan apabila mereka dewasa, pendidikan secara lebih ilmiah akan mudah  diterapkan.

Memurnikan hubungan orang asal dengan orang bukan asal

Secara asasnya kemerdekaan negara kita dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu sejarah kemerdekaan Tanah Melayu dan penyatuan Tanah Melayu bersama Sabah dan Sarawak. Ketegasan pemimpin terdahulu untuk tidak bersetuju dengan gagasan Malayan Union telah membawa negara kita kepada sebuah kedaulatan. Kebebasan daripada British adalah hasil daripada kerjasama antara etnik. Menurut Profesor Teo lagi,  kemerdekaan Malaysia kemudiannya diikuti pula dengan perjanjian “kontrak sosial” yang membentuk kesefahaman antara kaum dan etnik di negara ini.

Dalam program bicara yang dipengerusikan oleh Ismail Adnan itu, Profesor Teo turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa menghayati sejarah antara kaum di negara ini bagi mengelakkan salah faham dan memupuk perpaduan.

Asas tadbir negara yang membawa kepada penubuhan Malaysia hingga ke hari ini adalah hasil persetujuan dan tolak ansur antara dua pihak bagi mewujudkan negara yang harmoni. Hal ini melibatkan antara orang asal (kaum Melayu, orang asli dan masyarakat Sabah dan Sarawak selepas penubuhan Malaysia) dan orang bukan asal (kaum Cina dan kaum India). Perjanjian yang dimeterai menuntut kedua-dua pihak untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai masyarakat yang hidup di bawah satu negara yang berdaulat.

“Orang asal sudah mengorbankan hak mereka sejak 64 tahun lalu dengan bersetuju untuk memberi status kerakyatan kepada orang bukan asal. Namun, sehingga kini orang bukan asal masih gagal melangsaikan sebahagian persetujuan mereka dahulu sepenuhnya. Contohnya, kebanyakan kaum Cina dan kaum India di Malaysia masih tidak menguasai Bahasa Melayu dengan baik, terutama sekali di kalangan generasi muda mereka masa kini. Hal inilah yang menyukarkan perpaduan antara kaum,” tambah Profesor Teo.

Penubuhan  Malaysia merupakan penyatuan semula wilayah Nusantara di antara Persekutuan Tanah Melayu dan sebahagian kepulauan Borneo iaitu Sabah dan Sarawak. Profesor Teo juga menegaskan hal ini menerusi bukti-bukti sejarah rumpun Melayu apabila didapati tiga wilayah ini berkongsi satu rumpun yang sama. Katanya, hal ini dapat diperkukuhkan lagi melalui perkongsian aspek linguistik di mana bahasa yang digunakan mempunyai ciri-ciri keMelayuan. Maka solidariti Nusantara inilah yang menaungi kaum Cina dan India di Malaysia.

“Keseimbangan politik bersama aspek ekonomi dan aspek sosial adalah amat penting bagi melahirkan negara yang seimbang. Corak politik negara dapat disaksikan mengalami perubahan sejajar dengan peredaran masa namun berpandukan pada asas yang sama iatu perpaduan dan kesepakatan antara kaum,” ujarnya lagi. Aspirasi politik ini dapat dilihat menerusi penubuhan Parti Perikatan dan konsep sedemikian yang masih kekal sehingga kini dan pengagihan kuasa berdasarkan perlembagaan dan kesefahaman antara kaum.

Solusi melalui sistem pendidikan dan kesaksamaan ekonomi 

Tidak dinafikan bahawa aspek ekonomi dan perpaduan tidak boleh dipisahkan. Berdasarkan tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, peristiwa tersebut membuktikan bahawa ekonomi begitu penting bagi menangani kesenjangan antara kaum. Berikutan itu Dasar Eknomi Baru (DEB) diperkenalkan bersama rancangan ekonomi lain yang kini wujud dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Menerusi dasar-dasar ini keseimbangan negara terutama dalam aspek ekonomi mudah dapat dicapai.

Konsep keluarga Malaysia yang baru diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini amat menarik bagi mencorak keseimbangan dalam pembangunan negara menerusi penerapan konsep kekeluargaan. Maka, perpaduan yang lebih erat dan lebih utuh dapat dibentuk. Pada hemat Profesor Teo, aspek kekeluargaan ini jika digabungkan dengan aspek kesaksamaan ekonomi bakal membawa kepada kebaikan dalam jangkamasa panjang.

Rasa kekeluargaan ini akan semakin utuh terutama sekali apabila menghadapi situasi sukar secara bersama seperti pandemik COVID-19. Pandemik ini menyaksikan pelbagai kaum di Malaysia saling bantu membantu antara satu sama lain dan perpaduan dapat ditaut kembali seterusnya dipertahankan atas dasar kekeluargaan.

Sistem pendidikan semasa merupakan salah satu faktor kepada kesukaran pemupukan perpaduan antara kaum dan situasi ini perlu diubah. Sistem pendidikan kita sudah mengasingkan anak-anak kecil dan mewujudkan jurang sesama mereka ekoran terdapat kepelbagaian aliran persekolahan di peringkat sekolah rendah. Profesor Teo berpendapat, situasi ini menyukarkan integrasi di peringkat sekolah menengah.

“Sepatutnya integrasi antara kaum perlu dipupuk sejak kecil. Kepelbagaian jenis aliran sekolah rendah perlu dibubarkan. Perkara ini perlu distrukturkan semula dalam sistem pendidikan baru dengan menerapkan amalan-amalan bestari daripada pelbagai jenis sekolah dalam satu kerangka pendidikan. Inilah pengorbanan yang perlu dilakukan demi keharmonian di masa depan,” tambah beliau lagi.

Selain kepelbagaian aliran persekolahan di Malaysia, penggunaan pelbagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah berkenaan turut menggusarkan beliau. Penggunaan pelbagai bahasa berkenaan sudah menjadi amalan seharian penduduk Malaysia yang menyukarkan lagi perpaduan etnik. Profesor Teo mencadangkan agar usaha menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan mestilah diperkasakan. Katanya, apa yang tambah menyedihkan lagi apabila ada sesetengah individu yang menganggap menggunakan Bahasa Melayu adalah satu perkara yang ketinggalan dan lebih memilih untuk menggunakan Bahasa inggeris sebagai bahasa utama.

Di akhir wacana berkenaan Profesor Teo membuat kesimpulan bahawa, walaupun Malaysia sudah mencapai kemerdekaan selama 64 tahun, isu-isu perkauman masih belum selesai sepenuhnya. Sebagai sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk, integrasi antara kaum amat penting untuk dicapai secara tuntas dan berkesan. Kegagalan mencapai perpaduan dalam ertikata sebenarnya boleh mengundang kepada konflik antara kaum di kemudian hari. Sistem pendidikan perlu memainkan peranan sebagai alat penyatu bangsa kerana sistem pendidikan merupakan akar kepada pembentukan generasi akan datang sebagai Keluarga Malaysia.

Pembaca boleh menonton bual bicara tersebut menerusi pautan berikut:

https://www.youtube.com/watch?v=g30sZ5Us-ts&list=WL&index=167 ***

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *