Oleh Aini Nabilah Sharipuddin
Sukar diungkap dengan kata-kata setelah berusaha selama empat hingga lima tahun. Pastinya hari gemilang upacara konvokesyen menjadi penutup yang sangat bermakna buat diri dan keluarga. Hari membayar pengorbanan ibu dan bapa.
Bagai impian telah termakbul dan kurniaan rahmat yang memberi seribu makna terhadap individu yang bergelar mahasiswa untuk menyertai istiadat konvokesyen. Menggenggam segulung ijazah merupakan simbolik kemenangan dalam mengharungi rintangan suka dan duka sepanjang pengajian. Konvokesyen juga adalah sebagai permulaan kepada manifestasi ilmu yang telah ditimba untuk diaplikasikan bagi mendepani arus kehidupan masa hadapan.
Rentak kehidupan seterusnya tidak dapat dijangka rentaknya meskipun sudah mempunyai kepakaran dan pengetahuan. Jika tanpa memiliki kebijaksanaan dalam menjinakkan ombak kehidupan akan membinasakan diri seseorang. Sukar dikecapi kehidupan yang tenang dan harmoni. Bagi insan bergelar mahasiswa, pastinya ada dalam benak pemikiran mereka untuk menyambut hari konvokesyen. Acara gah gemilang itu pastinya dianggap sebagai istiadat wajib buat mereka dalam melengkapkan perjalanan sebagai seorang penuntut universiti.
Namun, kehadiran pandemik COVID-19 telah menjadi penyebab menggoyahkan bakal graduan dan memusnahkan impian mereka untuk menempuh hari bersejarah itu. Belum pernah sepanjang sejarah pengajian, majlis konvokesyen ditangguhkan. Ia merupakan kelaziman tahunan di setiap universiti.
Bagi bakal graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Aqilah Batrisya, majlis konvokesyen adalah upacara penghargaan untuk meraikan hasil penat lelah tanpa henti mahasiswa dan mahasiswi.
“Ini juga adalah seperti majlis penutup dan pengakhiran buat saya yang berjaya menghabiskan pengajian walaupun apa pun hasilnya. Ia juga tidak kepada diri kita sendiri sahaja malahan merupakan perayaan untuk ibu bapa yang banyak berkorban selama ini.
Menurut Aqilah yang sedang menjalani latihan amali dan bakal menamatkan pengajian tidak lama, majlis konvokesyen boleh menjadi perkara yang penting dan bermakna bagi bakal graduan.
“Ramai sudah melaluinya. Saya rasa ini seperti pengalaman sekali seumur hidup, bahkan tidak semua orang dapat memiliki hak istimewa untuk mengalami upacara konvokesyen itu. Ia pasti merupakan saat meninggalkan seribu kenangan yang berharga dalam hidup kita,” katanya.
Apabila mengetahui bahawa majlis konvokesyen bakal ditangguhkan, Aqilah bersama teman-teman sepengajian berasa amat kecewa. Ini kerana, majlis tersebut merupakan cara yang paling dinanti-nantikan oleh semua bakal graduan.
Namun mereka menerima hakikat bahawa menjaga kesihatan dan wabak daripada terus merebak adalah lebih utama. Tambahnya walaupun kesal, dia harus bersetuju dengan penangguhan majlis konvokesyen berkenaan kerana sekiranya masih diteruskan akan membawa lebih banyak keburukan dan risiko terhadap semua individu.
“Secara ikhlas, saya berasa terkilan dan kecewa ekoran penangguhan majlis tersebut dan ia memberi kesan psikologi sedikit sebanyak. Terkilan kerana ibu bapa saya tidak dapat melihat saya dalam majlis menerima skrol. Ibu bapa mana yang tidak bangga melihat kejayaan anak,” tambah Aqilah yang merupakan pelajar jurusan bahasa Inggeris kampus Pagoh.
Katanya lagi dia bagaimanapun memahami asbab peristiwa bersejarah itu patut ditunda dan berharap ia akan diteruskan di waktu yang selamat dan bersesuaian.
Ditanya mengenai acara konvokesyen maya secara dalam talian sebagaimana yang dilakukan oleh beberapa universiti lain, Aqilah berpendapat ia boleh dijadikan sebagai alternatif. Namun bagi beliau, ia pasti tidak akan membawa pengalaman, perasaan dan suasana yang sama berbanding dengan konvokesyen sebenar.
“Tidak akan wujud banyak kegembiraan dan kemanisan terhadap perayaan itu. Saya sememangnya tidak begitu menyukainya. Namun, jika majoriti bakal graduan setuju, dan jika keadaan semasa masih tidak mengizinkan dan dielakkan, maka saya sudah tidak ada pilihan lain untuk turut bersetuju,” katanya lagi.
Sebelum mengakhiri perbualan, Aqilah yang bagai mewakili rakan-rakan yang senasib dengannya berharap agar UIAM akan terus mencari ruang agar majlis konvokesyen seperti sebelumnya dapat diadakan kembali.
Tambah beliau, pastinya bakal graduan boleh mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat dan teliti. Bagaimanapun pun mereka memahami bahawa keizinan samada universiti boleh meneruskan konvokesyen seperti biasa adalah juga tertakluk kepada kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Apabila negara kita berjaya membawa masuk vaksin COVID-19 dan program imunisasi mula digerakkan, kami mula menaruh harapan tinggi bahawa keadaan bakal kembali normal. Insha Allah, kita boleh adakan konvokesyen macam seperti sebelumnya,” tambah Aqilah sambil tersenyum sebagai mengakhiri perbualan kami.***