Membugar semangat generasi muda untuk menuntut ilmu

Oleh Nurasyqin Mohd Azaley

Baling, Kedah – Kolej Kediaman Sumayyah  telah menganjurkan Kem Motivasi, “Baling Here We Go” di Baling, Kedah pada 13 Januari 2023 sehingga 15 Januari 2023 untuk membugar semangat menuntut ilmu kepada pelajar-pelajar Sijil Pelajaran Malaysian (SPM) 2022.

Program ini merupakan garapan bersama Kolej Kediaman Sumayyah UIAM, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Basri dan Pertubuhan Mulhaq dengan sokongan padu daripada Pejabat Pendidikan Daerah Baling, Kedah. Seramai 112 pelajar-pelajar SPM 2022 daripada lapan buah sekolah di daerah Baling dan 26 fasilitator daripada UIAM Gombak telah mengikut serta dalam program ini. Sekolah Menengah  Kebangsaan Jerai, Kedah dijadikan lokasi untuk melaksanakan program. 

Kem motivasi ini telah dirasmikan oleh Encik Termizi bin Husim, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Baling. Beliau teruja dengan kehadiran fasilitator yang sanggup meluangkan masa untuk berkongsi ilmu dengan anak-anak di Baling.

Katanya juga, banyak pengorbanan dan usaha yang telah dilakukan oleh guru-guru untuk memastikan pelajar-pelajar SPM ini berjaya. Oleh itu, beliau berharap program ini dapat memberi harapan dan menjadi penggalak buat pelajar-pelajar SPM di Baling untuk tidak berhenti berusaha dalam menuntut ilmu dan mencari kejayaan. 

Salah satu pengisian kem motivasi ini adalah aktiviti perdebatan. Usul yang diperdebatkan ialah ‘Tiktok dapat menjana pendapatan’. Data dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati lebih 72 peratus rakyat Malaysia memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran selepas SPM.

Tidak dapat dinafikan bahawa segelintir generasi muda pada hari ini sememangnya mempunyai mentaliti bahawa pendidikan tinggi tidak semestinya menjamin masa depan. Namun realitinya, permintaan untuk sektor profesional amatlah tinggi pada masa kini untuk membangunkan serta menstabilkan ekonomi negara.

Menuntut ilmu setinggi menara gading bukanlah sekadar untuk segulung ijazah sahaja akan tetapi adalah agar masyarakat kita lebih berintelektual dan berketerampilan serta luas horizon pemikirannya. 

Natijahnya, generasi muda pada hari ini perlu diberi banyak dorongan dan bimbingan dalam menuntut ilmu agar mereka tidak muak membaca dan berhenti mengira.  Hal ini demikian kerana, mereka inilah yang perlu menjadi Masyarakat MADANI bagi membina masa depan negara dan mewujudkan koridor pembangunan ekonomi dalam menjadikan negara kita yang tercinta ini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.

Konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkan semula oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-10, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, haruslah diperkasa agar tidak menjadi retorik kosong sahaja. ***

Leave a Reply