Mengimbau Kenangan Indah Beraya di Perantauan

Cetusan Aznan Mat Piah

Beraya di perantauan adalah satu kelainan yang sudah tentu menjadi satu pengalaman dan kenangan indah dalam hidup saya. Menoleh ke belakang, memang terasa agak sayu juga apabila berada berjauhan daripada keluarga di kampung halaman kerana bertugas di seberang laut.

Menonton liputan berita warga Malaysia berhari raya di perantauan yang selalu disiarkan di media penyiaran seperti Astro dan televisyen tempatan, saya sering terusik dan terpanggil untuk menghimbau kenangan yang dilalui sewaktu berkhidmat di Wisma Putra sebagai pegawai di Kementerian Luar Negeri selama 23 tahun. Banyak kenangan yang mahu saya kongsikan setelah kira-kira 14 tahun berkhidmat di luar negara. Lain negara, lain kenangan yang dibawa pulang.

Pengalaman pertama saya bermula di Bangkok, Thailand. Itulah kali pertama saya bertugas di luar negara. Setelah berumah tangga awal tahun 1979, saya dan isteri berangkat ke Thailand dan mula mengecapi hidup baru sebagai suami isteri. Pertama kali jugalah kami berpuasa dan menyambut Hari Raya di perantauan pada tahun tersebut dan diikuti dua tahun berikutnya.

Sambutan hari lebaran di Bangkok diadakan di perkarangan kediaman Duta Besar dengan solat Aidil Fitri,  disusuli dengan jamuan hari raya bersama keluarga anggota Kedutaan Besar Malaysia dan rakyat Malaysia yang bermastautin di sana.

Rakyat Malaysia di sana kebanyakannya terdiri daripada para pelajar dan pegawai-pegawai agensi kerajaan Malaysia. Selain itu, terdapat juga mereka yang mengikuti latihan jangka pendek dengan insititusi Thai dalam bidang pertahanan dan keselamatan. Selama tiga tahun berturut-turut kami beraya di Bangkok dalam suasana riang, mengadakan rumah terbuka, dan menziarahi rakan taulan.

Selepas Bangkok, saya ditugaskan pula ke negara matahari terbit, Jepun. Berhari raya di Jepun antara tahun 1983 hingga 1987 dirasakan agak berlainan. Ia juga merupakan satu pengalaman indah kerana pertama kali pula beraya di negara yang cuacanya sejuk atau dingin. Bagaimanapun, sambutan hari raya tidak kurang meriah kerana rakyat Malaysia di Tokyo berkumpul beramai-ramai di kediaman Duta Besar untuk menyambut hari lebaran. Waktu itu saya bertugas di bawah dua orang Duta Besar, bermula dengan Datuk Jamaluddin Abu Bakar (Allahyarham, bapa kepada Menteri Kesihatan sekarang, Khairy Jamaluddin) dan kemudiannya dengan Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar (Allahyarham). Beliau selepas itu dilantik Ketua Setiausaha, Kementerian Luar Negeri.

Ramai para pelajar yang tinggal bertebaran di sekitar Jepun berkumpul di residen Duta Besar untuk turut berhari raya bersama rakyat Malaysia yang lain. Mereka juga terdiri daripada para pelatih di beberapa kilang dan syarikat Jepun di bawah dasar pandang ke timur tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Dalam kesejukan cuaca, mereka tidak melepaskan peluang untuk berkumpul beramai-ramai, menikmati ketupat, lemang dan rendang serta juadah tradisional lain hari raya. Bagi saya, ketupat rendang menjadi satu menu kemestian untuk menyambut hari lebaran sekalipun di perantauan.

Di Paris (saya berkhidmat di sana dari 1989 hingga 1992), perayaan juga bermula di kediaman Duta Besar dengan sembahyang sunat Aidil Fitri diikuti dengan jamuan hari raya. Mereka yang hadir adalah terdiri daripada anggota kedutaan dan agensi-agensi yang beroperasi di Paris seperti agensi pelancongan Tourism Malaysia, Malaysia Airline System (MAS), Malaysian Industry Development Authority (MIDA) dan pelajar-pelajar Malaysia. Duta Besar waktu itu ialah Datuk Ismail Ambia (Allahyarham), kemudiannya Tan Sri Hasmy Agam. Selepas itu, Tan Sri Hasmy dilantik menjadi Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Terdapat juga keluarga Malaysia dari beberapa kotaraya di Eropah seperti di Brussels, The Hague, Geneva atau Bonn yang bercuti di Perancis turut berhari raya bersama rakan taulan dari kedutaan di Paris.

Satu perkara beraya di perantauan, ia memberi kesempatan dan ruang bagi pegawai mengunjungi rumah-rumah rakan pegawai lain di sana demi mengeratkan tali silaturrahim. Berlainan dengan di Malaysia di mana tumpuan kunjungan lebih kepada sanak saudara. Di perantauan tidak ada sanak saudara, jadi rakan taulanlah yang menjadi tumpuan ziarah menziarahi.

Ketika saya berkhidmat di London selama tiga tahun dari tahun 1992 hingga 1995, saya perhatikan ramai para pelajar Malaysia yang menuntut di merata tempat di United Kingdom (UK) akan turun ke London bersama keluarga (bagi mereka yang berkeluarga) dan berkumpul beramai-ramai di residen Pesuruhjaya Tinggi kita di sana untuk menyambut Aidil Fitri dan menikmati juadah hari raya.

Pertemuan hari raya di perantauan juga menjadi kesempatan terbaik untuk mereka bertemu sahabat-sahabat dan rakan taulan dari Malaysia yang belajar di merata universiti, bekerja atau bermastautin di UK. Sebenarnya ramai pelajar tajaan kerajaan Malaysia seperti JPA, universiti awam, MARA, PORIM dan Petronas yang menyambung pelajaran di peringkat sarjana dan PhD. Sebahagiannya terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan. Jadi tak hairanlah mereka membawa ahli keluarga mereka bersama-sama untuk menyambut raya dan mengecapi suasana hari raya di perantauan.

Bagi yang pernah melalui pengalaman berhari raya di perantauan, ia adalah satu kenangan yang sangat indah. Bukan sahaja persekitaran yang berbeza dari segi cuaca dan persekitaran asing, tetapi juga daripada segi kekangan untuk mendapatkan bahan mentah seperti keperluan menyediakan ketupat rendang yang sangat-sangat dirindui oleh mereka  di perantauan. Selain itu, ini merupakan pertemuan sekali setahun yang dinanti-nantikan terutama bagi mereka yang baru tiba di negara asing. Menjejakkan kaki di kedutaan atau kediaman Duta Besar di waktu hari lebaran seolah-olah dirasakan berada di bumi Malaysia.

Di Thailand, tidak bermasalah sangat untuk mendapatkan ramuan untuk membuat ketupat rendang dan menyediakan juadah atau untuk mendapatkan daging halal. Malah kita juga mampu mendapatkan daun palas dan buluh lemang yang diterbangkan terus dari Malaysia melalui kenalan rapat. Demikian jugalah semasa berkhidmat di Tokyo, di mana keperluan ini mudah diperolehi melalui pesanan yang dibuat terus dari Malaysia.

Rata-rata sambutan hari raya yang diadakan di residen Duta Besar di luar negara banyak bergantung kepada kreativiti isteri Duta Besar dan kerjasama persatuan wanita atau lebih dikenali sebagai ˜Perwakilan dalam membantu menyediakan majlis jamuan raya. Biasanya terdapat kerjasama yang begitu erat untuk sama-sama menjayakan majlis hari raya setahun sekali itu. Anggota Perwakilan adalah terdiri daripada isteri-isteri pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di kedutaan atau perwakilan diplomatik di luar negara.

Kemeriahan berhari raya di perantauan sangat-sangat dirasakan apabila rakyat Malaysia berkumpul beramai-ramai untuk sama-sama menyambut hari lebaran. Perayaan dan sambutan hari raya di luar negara juga memberi peluang kepada rakyat Malaysia menjalin hubungan erat sesama mereka. Moga ia akan terus menjadi amalan murni dalam rangka memperkenalkan budaya Malaysia di merata dunia.****

Leave a Reply