Kekal Waspada Sambut Aidil Fitri

Cetusan Aznan Mat Piah

Sudah hampir sebulan kita berada dalam fasa peralihan ke endemik sejak diumumkan kerajaan pada 1 April lalu.

Dalam tempoh tiga atau empat hari lagi kita akan menyambut hari lebaran. Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini sudah pastinya akan disambut dengan meriah kerana selama dua tahun kita tidak dapat berkumpul bersama keluarga dan sahabat handai untuk meraikannya.

Sebelum ini kita berada dalam fasa pandemik yang menyaksikan kawalan perintah pergerakan (MCO) dan penularan tinggi kes COVID-19. Akibat daripada situasi berkenaan, kita tidak dapat menyambut Aidil Fitri dengan sempurna sepertimana yang dilakukan pada tahun-tahun sebelum kita berhadapan dengan COVID-19.

Suasana menyambut Hari Raya sudah pun terasa apabila kita mengunjungi pusat-pusat membeli belah, dengan suasana terdapat ramai pengunjung yang membuat persiapan di saat-saat akhir sebelum menjelangnya Syawal.  

Sudah terasa keseronokan di kalangan kita untuk pulang ke kampung halaman apabila kerajaan mengumumkan rakyat diberi laluan tol percuma pada 1 dan 2 Mei dan juga pada 6 dan 7 Mei. Keputusan ini pastinya bakal melancarkan perjalanan di lebuhraya tertentu, selain merangsang pelancongan domestik.

Kita dapat jangkakan lebuhraya akan menjadi sesak dengan kenderaan warga kota berduyun-duyun atau berebut-rebut meninggalkan kediaman masing-masing untuk pulang ke kampung halaman, menuju ke utara, selatan, mahupun di negeri-negeri di pantai timur. Dan bagi mereka yang pulang ke Sabah dan Sarawak sudah tentu ramai yang akan membanjiri lapangan terbang untuk pulang ke destinasi masing-masing.

Menurut jangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat bakal empat juta kenderaan dianggarkan akan berada di bandar-bandar dan daerah-daerah di beberapa buah negeri. Bandar-bandar ini pula akan menjadi sesak manakala kotaraya Kuala Lumpur sebaliknya akan menjadi lengang.

Baru-baru ini kerajaan membuat pengumuman tentang beberapa kelonggaran terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang membolehkan kita menyambut hari lebaran bersama keluarga dan sanak saudara.  Malah Perdana Menteri turut menggalakkan warga kota pulang berhari raya di kampung dan menyambut hari kebesaran ini bersama ibu bapa dan sanak saudara.

Biarpun semakin banyak kelonggaran diberikan oleh kerajaan, ini tidak bermakna kita harus melupakan bahawa negara kita masih lagi belum bebas daripada virus COVID-19. Dilaporkan virus berkenaan masih berada dalam komuniti. Ini bermakna di saat kita bergembira menyambut Hari Raya bersama keluarga di kampung atau mengunjungi jiran-jiran dan majlis rumah terbuka, kita harus sentiasa berwaspada terhadap kehadiran virus yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan kita.

Sudah tentunya kita tidak mahu melihat kluster baru (kluster Aidil Fitri) timbul akibat kelalaian kita semua. Kementerian Kesihatan menerusi media massa berulangkali mengingatkan kita tentang perlunya kita semua berwaspada setiap masa, terutamanya dalam musim perayaan begini kerana kita mungkin terbawa-bawa dengan keghairahan menyambut hari kebesaran ini hingga terlupa tentang amalan norma baru.

Sesungguhnya, amalan norma baru menuntut supaya kita sentiasa beringat atau mengingatkan diri kita tentang amalan 3Ws (wash, wear, warn) iaitu kerap cuci tangan, amaran, memakai pelitup muka, dan elak 3Cs (crowded places, confined spaces, close conversation), terutama di  kawasan sesak serta mengelakkan bersembang dalam jarak dekat. Di kala kita menyambut hari lebaran ini kita haruslah saling ingat-mengingati tentang risiko jangkitan terutama di kalangan warga emas dan mereka yang menghidapi pelbagai jenis penyakit berisiko mudah dijangkiti (comorbidities).

Rakyat sebenarnya harus diingatkan bahawa negara masih berada dalam fasa peralihan ke endemik. Ini bermakna kita masih lagi belum menang dalam menghadapi virus COVID-19. Kelonggaran yang diberikan lebih untuk membolehkan terdapat imbangan antara kehidupan dan kesihatan. Kita tidak mahu ekonomi negara terus berhadapan dengan krisis hingga membantutkan mata pencarian dan sumber mencari rezeki orang ramai. Pada masa yang sama kita perlu mempastikan keselamatan agar tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan rakyat.

Sungguh pun kita tidak diwajibkan lagi mengimbas MySejahtera ketika memasukki premis, namun memakai pelitup muka seharusnya terus menjadi amalan kita ketika berada dalam kawasan tertutup atau di kawasan sesak seperti di majlis-majlis rumah terbuka.

Kerajaan telah menyerahkan tanggungjawab mengekalkan kewaspadaan ini kepada anggota masyarakat untuk menentukan apa yang perlu kita dilakukan. Ini yang dikatakan œKita Jaga Kita di mana kebijaksanaan teletak di bahu kita untuk menentukan yang terbaik dalam mempastikan kita tidak dijangkiti dan seterusnya menyekat penularan virus.

Jika kita masih bergejala, adalah menjadi tanggungjawab kita mengasingkan diri daripada orang ramai. Tak perlulah kita menghadirkan diri di mana-mana majlis rumah terbuka atau mengunjungi jiran atau sanak saudara. Dengan berbuat demikian kita mampu mengawal penularan.

Kita juga diingatkan supaya sentiasa membuat penilaian risiko kendiri dan mengambil tindakan yang betul. Bagi tuan rumah, sebaiknya majlis rumah terbuka dibuat di kawasan lapang untuk membolehkan pengudaraan yang baik. Sebagai tuan rumah, hendaklah kita pastikan tetamu memakai pelitup muka sekiranya berada di ruang tertutup. Elakkan kesesakan. Sediakan cecair pencuci tangan secukupnya (sanitizer). Adalah menjadi hak anda sebagai tuan rumah memastikan hanya yang tidak bergejala menyertai majlis yang anda anjurkan.

Bagi tetamu pula, mereka  digalakkan melakukan ujian kendiri sebelum menghadiri majlis, terutamanya bila majlis akan turut dihadiri oleh mereka yang berisiko tinggi. Sebaiknya pendekkan masa berkumpul. Berlaku jujur demi keselamatan tetamu lain dengan tidak menghadirinya jika anda bergejala. Ini merupakan pesanan Kementerian Kesihatan dan baik untuk kita jadikan panduan dan amalan.

Coretan ini sekadar peringatan bersama di kala kita seronok menyambut hari lebaran bersama keluarga, sanak saudara dan rakan taulan.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir dan Batin.***

Leave a Reply