Cetusan Omar Qayyum Hamdan
Memupuk semangat kerjasama sesama negara anggota ASEAN (Association of Southeast Asian Nations atau Persatuan Negara-negara Asia Tenggara) dan seterusnya di kalangan penduduknya bukanlah suatu perkara yang mudah. Ini kerana setiap negara mempunyai kepelbagaian demografi yang mempersembahkan pelbagai hambatan dan halangan. Dalam usaha masyarakat antarabangsa memperkukuh dan mempromosi semangat Pembangunan Lestari (Sustainable Development), negara-negara Asean kelihatan masih belum rancak dalam melaksanakan agenda Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkenaan.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Asia dan Pasifik (ESCAP), melihat kepada prestasi semasa Asia Pasifik yang dirujuk daripada Asia Pacific Sustainable Development Goal (SDG) Progress Report 2019, Asia Pasifik tidak akan mencapai walaupun satu daripada 17 matlamat yang disasarkan. Malahan tiga daripada tujuh belas prestasi matlamat menunjukkan penurunan iaitu; Pekerjaan Yang Sesuai dan Pembangunan Ekonomi, Tindakan Terhadap Iklim dan Kemanan, serta Keadilan dan Pertubuhan Kukuh.
Asas penubuhan ASEAN yang menggalakkan kerjasama lebih baik antara negara anggota masih belum mampu terlaksana secara padu dan mantap. Dasar tidak campur tangan urusan dalaman negara anggota barangkali perlu dilihat kembali terutama dalam urusan membabitkan pemuliharaan dan pemulihan alam sekitar. Dasar ini sudah menyebabkan perjanjian-perjanjian dan rundingan yang dibuat oleh negara-negara ASEAN tidak boleh dikuat kuasa secara maksimum. Misalnya, Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2002 yang sudah berkuat kuasa sejak tahun 2002, sehingga hari ini masih tidak ada mekanisme dalam hal menjatuhkan hukuman dan penyelesaian serta pemantauan jangka panjang. Malah dalam insiden jerebu yang berpunca dari pembakaran hutan di Indonesia pada 2010, mereka menolak bantuan Malaysia dan Singapura di atas alasan reputasi dan kedaulatan.
Bagi mengatasi kekurangan tersebut, cadangan penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh ASEAN adalah dengan menambah klausa hukuman bagi anggota ASEAN yang gagal mematuhi kewajipan yang ditetapkan. Mekanisme ini akan menjadikan negara-negara ASEAN menganggap perjanjian ASEAN sebagai sebuah perjanjian dan undang – undang yang penting.
Merujuk kepada Perkara 20(1) Piagam ASEAN yang menjelaskan bahawa sebarang keputusan yang dibuat hendaklah berdasarkan perundingan dan persetujuan bersama (consensus). Hal ini merumitkan proses dalam mencapai kata putus untuk melakukan sebarang tindakan kerana untuk membuat satu-satu keputusan melalui rundingan, setiap negara anggota perlu bersetuju dengan tindakan tersebut. Contoh mudah untuk tatapan semua, dalam isu kemanusiaan etnik Rohingya yang merupakan salah satu krisis kemanusiaan terbesar di dunia masih belum dapat diselesaikan sehingga hari ini. Krisis kemanusiaan ini merupakan antara perkara yang mempengaruhi skor ASEAN dalam mencapai matlamat ke-16 SDG iaitu keamanan, keadilan dan institusi berwibawa serta matlamat keenam dan ketujuh iaitu keperluan asas. Adalah mustahil untuk mengharapkan kerajaan Myanmar mengaku kesalahan mereka di atas jenayah penghapusan etnik Rohingya. Sebaliknya mereka mengatakan tindakan mereka selama ini adalah benar dan memberikan justifikasi di sebalik tindakan tersebut.
Persoalan yang sering dikemukakan oleh masyarakat serantau adalah di manakah ASEAN dalam isu ini? ASEAN merupakan organisasi yang tersepit antara tanggungjawab untuk menghentikan kekejaman kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya dan dalam masa yang sama terikat dengan Piagam ASEAN yang telah mereka sepakati, terutama dalam dasar tidak campur tangan dalam urusan negara anggota.
Kaedah penambahbaikan yang boleh dipertimbangkan oleh pihak berautoriti ASEAN dan negara anggota adalah untuk membuat pindaan terhadap Piagam ASEAN dengan merujuk kepada Artikel 48 yang membolehkan negara anggota untuk mencadangkan pindaan kepada piagam tersebut. Antara bentuk pindaan yang boleh dibuat adalah dengan mempertimbangkan suara majoriti anggota ASEAN sewaktu membuat keputusan. Jika ini berjaya disepakati, pindaan ini akan memudahkan pengurusan dan pentadbiran ASEAN dalam menangani sesuatu isu. Manakala dalam masalah pengurusan iklim, inisiatif seperti ini boleh memudahkan kerja-kerja penguatkuasaan serta proses membuat keputusan kerana ia hanya memerlukan suara majoriti dari negara-negara anggota.
Sudut pandang yang seterusnya adalah berkenaan pengurusan rasuah yang memberi kesan kepada keberkesanan pengawalan dan pengawasan oleh penguat kuasa. Kepentingan melihat dan menilai masalah rasuah di seluruh rantau ini adalah kritikal kerana sekiranya rasuah tidak berjaya dikawal dan semakin berleluasa, segala perancangan dan hasrat murni untuk memastikan ASEAN mencapai kesemua tujuh belas matlamat SDG itu akan berakhir dengan kegagalan. Satu perkara yang amat mendukacitakan warga ASEAN, lapan daripada sepuluh negara ASEAN masih gagal melepasi skor pertengahan pencapaian SDG iaitu 50.
Data daripada Indeks Persepsi Rasuah 2018 ini jelas membuktikan bahawa tahap pengawalan rasuah di seluruh rantau ini amat membimbangkan. Antara contoh masalah yang berlaku berpunca daripada rasuah adalah wujudnya Pendatang Asing Tanpa Izin di negara-negara ASEAN. Di Malaysia sahaja, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia mendapati 80 peratus daripada pengawal dan pegawai sempadan terlibat dalam masalah gejala rasuah dan perkara ini menyebabkan PATI berleluasa di Malaysia dan memberi kesan dalam pertumbuhan ekonomi dan sosial negara.
Bagi mengatasi masalah pecah amanah dan rasuah, cadangan untuk mewujudkan Mahkamah Jenayah ASEAN untuk menghakimi isu-isu jenayah terutama sekali isu yang melibatkan sempadan negara-negara anggota termasuk rasuah perlu dipertimbangkan. Selari dengan mekanisme ini, penguatkuasaan undang-undang akan menjadi lebih efektif kerana pengawasan yang lebih menyeluruh dan meluas untuk seluruh rantau di samping mengenakan hukuman yang lebih berat dan selaras untuk semua warga ASEAN yang terlibat dengan jenayah tersebut. Kerjasama daripada semua negara anggota sememangnya memainkan peranan yang besar dalam menjayakan usaha ASEAN untuk mengukuhkan prinsip keadilan di rantau ini. Dari sudut pandang pengurusan iklim pula, penguatkuasaan undang-undang tidak akan menjadi masalah berpanjangan.
Anggaplah alam pemberian Tuhan ini ibarat orang yang kita sayangi. Sekali hilang keindahan dan kelestariannya, seribu tahun penyesalan pun tidak boleh mengembalikannya semula. Gagasan dan sudut pandang ini akan menjadi cetusan yang mampu dilaksanakan seandainya ada iltizam yang jitu di kalangan pemimpin negara anggota serta kesiapsiagaan menyeluruh warga penjawat awam setiap negara. Manakala di kalangan belia dan anak muda ASEAN sebagai pemimpin masa kini dan akan datang, kita sandarkan harapan agar mereka mampu memacu pembangunan lestari untuk umat di rantau yang sama-kita sayangi. ***
(Penulis, Omar Qayyum Hamdan merupakan pelajar Kulliyyah Undang – Undang Ahmad Ibrahim. Pandangan yang diutarakan dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi beliau dan tiada kaitan dengan Sidang Redaksi IIUMToday.)