Keprihatinan Masyarakat Perlu Dipertingkat Jika Mahu Memasuki Fasa Endemik


Sorotan Siti Zulaikha Zukefli dan Hakim Mahari

Trend peningkatan kes COVID-19 di Malaysia nampaknya berulang. Kehadiran varian baru Omicron kelihatan tidak menunjukkan sebarang tanda penurunan dalam tempoh yang terdekat. Jumlah kes juga pernah mencatatkan sehingga ke tahap yang membimbangkan, melebihi 30,000 kes sehari.

Tidak dapat dinafikan bahawa penularan varian Omicron COVID-19 yang pantas dan sikap sambil lewa segelintir anggota masyarakat  terhadap prosedur operasi standard (SOP) telah menyumbang kepada peningkatan mendadak kes COVID-19 di negara ini. Beberapa  faktor lain juga dikenalpasti menyumbang kepada peningkatan kes harian COVID-19. Ramai yang bagaikan lalai bahawa COVID-19 masih belum reda  di negara kita.

Namun begitu, setelah lebih dua tahun hidup bersama virus ini, semestinya kita mahukan kebebasan hakiki daripada hidup dengan rasa takut akan virus COVID-19. Kita percaya semua pihak telah berusaha untuk mencari jalan keluar daripada dibelenggu virus ini. Impak virus ini bukan sahaja telah menjejaskan aktivti sosial manusia namun aktiviti ekonomi yang menjadi peneraju seluruh negara juga telah berada pada tahap yang membimbangkan. Oleh itu, pihak berwajib seperti kerajaan mula menyusun pelan untuk membawa negara keluar daripada kegelapan ini.

Masihkah kita semua ingat akan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 1 September 2021 bahawa Malaysia dijangka memasuki fasa endemik COVID-19 pada Oktober, selaras dengan sasaran kerajaan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus populasi dewasa di negara ini mendapat vaksin. Kenyataan berkenaan membayangkan langkah yang diambil kerajaan dalam membawa negara kearah yang lebih baik dan memberi sinar harapan buat rakyat. Bagaikan pelangi yang datang selepas hujan, berita berkenaan pastinya menggembirakan buat semua rakyat Malaysia ketika itu.

Namun kelegaan dan kegembiraan akan tibanya fasa endemik itu tidak berkekalan apabila dunia mula digemparkan dengan kehadiran varian terbaharu yang lebih pantas merebak. Kebanyakan negara  mula mengambil langkah menutup sempadan antarabangsa. Malaysia yang ketika itu baru sahaja memberi kebebasan buat rakyatnya juga mula menyusun langkah bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih parah. Pada 14 Januari lalu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan bahawa Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara langkah mengisytiharkan peralihan ke fasa endemik berikutan peningkatan kes penularan varian Omicron di Malaysia. Amat pahit untuk ditelan namun inilah realitinya.

Mengejutkan pada 24 Februari, kes harian COVID-19 di Malaysia telah melonjak kepada hampir 32 ribu kes. Memang benar varian baharu ini pantas merebak. Ini membuatkan kita  terfikir, adakah dengan pantasnya merebak varian Omicron  ini juga semua kebebasan yang dirasai sekarang bakal berakhir? Adakah Malaysia masih mampu beralih ke fasa endemik seperti yang dirancang?

Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr. Shamsul Bahari Shamsudin menyifatkan bahawa kes jangkitan harian harus diberi keutamaan kerana ini merupakan indikator utama untuk peralihan fasa. Dr. Shamsul menambah bahawa sesebuah negara mampu beralih ke fasa endemik dengan memastikan jumlah kes harian turun, sekurang-kurangnya kepada dua digit.

Namun melihat keadaan dan jumlah jangkitan COVID-19 semasa, perjalanan kita masih jauh untuk mencapai kes jangkitan dua digit, kata Dr Shamsul. Beliau menyifatkan perkara ini tidak mustahil untuk dicapai di negara Malaysia sekiranya semua rakyat bersatu dalam melakukan segala aktiviti. Hal yang demikian, Dr. Shamsul berpendapat bahawa disiplin rakyat dalam menjaga keselamatan diri merupakan salah satu indikator penting untuk negara beralih fasa.

SOP yang ditetapkan oleh kerajaan perlu sentiasa dipatuhi oleh rakyat Malaysia, seperti memakai penutup muka dan menjaga jarak. Selain itu, walaupun jumlah penerimaan vaksin sudah hampir mencapai 80 peratus, namun peratus rakyat Malaysia yang menerima dos penggalak masih rendah, iaitu 41 peratus.

Rakyat Malaysia diseru untuk mendapatkan suntikan dos penggalak untuk meningkatkan imunisasi badan melawan virus COVID-19 selepas penyelidikan mendapati keberkesanan dua dos vaksin utama menurun mengikut peredaran masa. Disebabkan majoriti rakyat Malaysia menerima vaksin Sinovac sebagai vaksin utama, kerajaan menggalakkan penerimaan dos penggalak kerana pada bulan ketiga, keberkesanan vaksin Sinovac menurun kepada 50 peratus, dan tiada keberkesanan pada bulan keenam. Manakala, keberkesanan vaksin Pfizer dan AstraZeneca akan mula hilang pada bulan keenam. Oleh itu, peratus penerima dos penggalak di kalangan rakyat juga merupakan salah satu halangan untuk Malaysia beralih ke fasa endemik. Dengan kerjasama rakyat Malaysia menerima dos penggalak, ini akan membuka pintu kejayaan kepada negara untuk beralih dari fasa pandemik ke endemik seperti yang dirancang kerajaan sebelum ini.

Persoalannya, adakah rakyat Malaysia sudah memenuhi segala syarat untuk masuk ke fasa endemik dan apakah usaha kerajaan untuk kembali menyambung perancangan peralihan dari fasa pandemik ke endemik bakal membuahkan hasil?****

Leave a Reply