Sorotan Siti Solehah
Sebagai sebuah negara yang begitu terdedah kepada perubahan monsun, fenomena banjir merupakan bencana alam yang boleh dikatakan sesuatu yang sering berlaku di Malaysia. Cuma yang sering diperkirakan apakah banjir yang merupakan fenomena alam yang berlaku setiap tahun itu di luar dugaan atau sebaliknya.
Malaysia dan beberapa negara di Asia Tenggara merupakan negara yang sering dilanda banjir samada banjir kilat atau banjir diakibatkan oleh perubahan monsun timur laut. Akibat daripada hujan lebat yang berterusan, kemungkinan dilanda banjir memang sentiasa bermain di benak penduduk negara ini terutama yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur.
Banjir besar yang diakibatkan perubahan monsun telah merakam sejarahnya yang tersindiri di negara ini. Sebagai contoh, Malaysia pernah dilanda banjir besar pada tahun 1971, 2014 dan yang terkini adalah pada tahun 2021 yang baru lalu. Bencana alam ini bukan sahaja memusnahkan harta benda serta tanaman, malah meragut ramai nyawa manusia.
18 Disember 2021 merupakan tarikh yang membawa mimpi ngeri buat rakyat Malaysia di mana ini merupakan malam permulaan bah besar yang melanda negara. Riuh di media sosial denga suara rakyat menjerit meminta tolong. œTolong kami¦ air makin naik. Rakyat yang tidak terkesan juga turut sama menghulurkan bantuan. Apatah lagi dalam keadaan pihak berkuasa masih belum berupaya menggerakkan jentera bantuan dalam waktu yang singkat. Namun di sana terdapat amalan rakyat Malaysia yang harus dipuji. Bersikap prihatin dan meneruskan kerja kebajikan sesama mereka di bawah motto œRakyat jaga Rakyat.
Banjir besar kali ini agak tidak terkawal apabila banjir tersebut melanda negeri Selangor yang sebelumnya hanya sering dilanda banjir kilat. Banyak daerah terjejas seperti Hulu Langat, Shah Alam, Klang, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Petaling, dan Kuala Lumpur. Manakala di Pahang, banjir melanda Bentong, Karak, Lanchang,  Mentakab dan Temerloh di Pahang. Air begitu berlumpur, keruh dan  bewarna coklat.
Bencana alam yang meragut hampir 50 nyawa tersebut patut menjadi pembuka mata semua pihak untuk sentiasa berwaspada dan bersiap siaga dalam menghadapi pelbagai kemungkinan. Keadaan Malaysia yang berada berdekatan dengan Garisan Khatulistiwa telah menyebabkan negara ini sering terkesan oleh peralihan Monsun Barat Daya dan Timur Laut. Fenomena banjir yang sering berlaku terutamanya di negeri-negeri pantai timur sudah cukup untuk dijadikan bukti bahawa Malaysia sering terdedah terhadap fenomena banjir.
Namun, banjir besar yang melanda malaysia baru-baru ini cukup untuk menyaksikan ketidaksediaan serta sikap tidak mengambil endah pihak-pihak yang diberi amanah untuk menjaga kesejahteraan rakyat Malaysia. Negara Malaysia pernah melalui peristiwa tragedi banjir pada 2014.
Kejadian kaca bangunan Etiqa di Masjid Jamek yang pecah akibat hujan lebat dan angin kencang pada April lalu juga telah menjadi bukti bahawa iklim dunia yang semakin tidak tentu arah dan mengundang malapetaka yang tidak dapat dijangka termasuk di Malaysia.
Tidak bersedia, kelam kabut dan tidak dijangka. Inilah alasan yang digunakan di saat tidak dapat mengelakkan diri lagi. Tidak lupa juga, sikap lepas tangan dan menunding jari yang dipamerkan oleh pihak bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah ini turut menimbulkan persoalan di mata rakyat. Alasan yang diberikan boleh diklasifikan sebagai lemah kerana peringatan juga diberikan. Pada Julai 2021, Adun Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah, telah memberi peringatan tentang pelan rapi menjelang banjir. Baru-baru ini juga telah terbongkar bahawa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengesyorkan beberapa kolam di ibu kota diwartakan sebagai kolam takungan banjir namun cadangan tersebut ditolak. Jadi salah siapa?
Namun, di setiap perkara yang terjadi, pasti ada coretan manis yang tersemat. Dapat disaksikan keindahan Malaysia apabila rakyat Malaysia samada perseorangan atau badan bukan kerajaan (NGO), tidak kira kaum dan agama dari pelosok negara begitu ringan tulang membantu mangsa-manga banjir dalam pelbagai aspek seperti pembersihan pascabanjir, pengagihan keperluan asas, serta memberi perlindungan sementara kepada binatang binatang peliharaan seperti kucing dan anjing.
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) juga tidak ketinggalan dalam membantu mangsa-mangsa banjir. Pihak universiti begitu mengalu-alukan penuntut universiti ini untuk bersama membantu mangsa-mangsa banjir. Dorongan itu termasuk dengan keprihatinan pihak universiti dalam menyediakan pengangkutan kepada para pelajar untuk bergerak ke destinasi mangsa-mangsa banjir. Moga amalan murni begini akan terus disuburkan di kalangan rakyat Malaysia terutamanya di kalangan pelajar universiti dan pusat pengajian tinggi sebagai menjiwai konsep pembangunan lestari.***