Kesedaran kesihatan di Malaysia membimbangkan

Sorotan Fatihah Sabtu

Kopi Viral, Goreng Pisang Cheese, Roti John Cheese Sekapal, Air Boba, Aiskrim Boba dan pelbagai lagi makanan yang dijual di pinggir  jalan memang menarik perhatian. Selain kelihatan menyelerakan, makanan yang dipasarkan itu mampu juga mempunyai aroma yang memikat. 

Di Malaysia, menjaja makanan di tepi jalan dan di tempat awam termasuk pasar malam sudah menjadi satu budaya yang tidak boleh dinafikan lagi kemeriahannya. Apatah selama Covid-19 melanda negara, semakin ramai penjaja makanan dan buah-buahan muncul, ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Kebenaran menjaja tanpa lesen dikatakan mendapat keizinan dari pihak berkuasa tempatan bagi membolehkan mereka yang terkesan akibat pandemik menambah pendapatan dan menyambung kehidupan.   

Selain melakukan pemasaran secara besemuka, ramai juga di kalangan penjaja melaksanakan pemasaran secara dalam talian, dengan pelbagai pilihan juadah yang ada. Sudah pasti pelanggan atau penduduk Malaysia mengetahui salah satu daripada makanan dan minuman yang disenaraikan. Jelas menunjukkan bahawa produk pemasaran yang dilaksanakan oleh pemilik perniagaan tersebut berjaya membuat makanan dan minuman tersebut dikenali ramai atau dalam bahasa mudahnya, viral. Harga yang ditawarkan kebanyakannya tidaklah terlalu mahal atau menekan pembeli. Akibat persaingan sesama mereka, harga bolehlah dikatakan berpatutan. Tidak hairanlah makanan dan sajian berkenaan menjadi pilihan ramai untuk dinikmati setiap hari. 

Namun, perlulah diingati bahawa setiap perkara yang dilakukan perlulah bersederhana dan diambil secara berhati-hati. Makanan yang kita ambil perlu diteliti agar tidak memudaratkan diri sendiri di kemudian hari. Makanan yang tinggi kandungan lemak, gula dan perasa tambahan akan mengundang pelbagai penyakit seperti kencing manis, obesiti dan darah tinggi. Di saat umur muda masih belum terasa. Namun apabila umur makin meningkat, petanda-pertanda awal penyakit merbahaya mula mendatangi. 

Kesihatan merupakan anugerah Allah  yang acapkali dipandang enteng oleh masyarakat. Namun, sudah terhantuk baru tengadah. Apabila sudah sakit mula menyesali padah. Bagi umat islam, tanggungjawab menjaga kesihatan termasuk dalam salah satu maqasid syariah yang berkaitan menjaga nyawa. Dalam ertikata lain kita perlu menghindari perkara yang boleh merosakkan kesihatan dan mengancam nyawa. Nyawa dan kesihatan diri perlu dipelihara sebaiknya untuk terus beribadat kepada Allah, hinggakan usaha berubat apabila ditimpa penyakit menjadi ikhtiar yang mendapat pahala dari-Nya.

Ramai pakar kesihatan dan pemakanan umumnya berpendapat bahawa kesedaran tentang kesihatan dalam kalangan rakyat Malaysia masih berada di tahap yang membimbangkan, atau masih rendah. Jika tidak, mana mungkin hospital dan klinik kesihatan penuh dengan temujanji pesakit yang tujuannya untuk membuat pemeriksaan bulanan atau mengambil ubat yang perlu dimakan setiap hari.

Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin dalam satu temubual dalam program Selamat Pagi Malaysia mengatakan Malaysia dianggap sebagai negara bukan sihat memandangkan jumlah rakyatnya yang menghidapi penyakit jantung dan obesiti adalah tinggi dan kesedaran aspek kesihatan juga masih berada ditahap yang rendah. 

“Kalau tanya saya sebagai menteri, adakah Malaysia negara sihat sekarang, jawapannya adaha tidak. Kita antara negara kadar tertinggi daripada segi obesiti, sakit jantung dan antara penyebab punca kematian COVID-19 di negara ini adalah sebab sebahagian besar daripada pesakit mengalami komobiditi  kronik.

Obesiti dan berat badan berlebihan merupakan risiko utama berlakunya masalah kesihatan kronik dan penyakit kardiovaskular. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, satu daripada dua rakyat dewasa Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti. Lebih parah, hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan merekodkan peningkatan ketara kadar  obesiti setiap tahun. Bukan itu sahaja, Malaysia juga merupakan negara di Asia yang mempunyai bilangan penyakit diabetes tertinggi. 

Selain daripada obesiti dan diabetes, Khairy Jamaluddin juga ada menyentuh tentang masalah kemurungan yang dihidapi oleh golongan dewasa di Malaysia. 

“Mengikut statistik rasmi, setengah juta orang dewasa mengalami kemurungan. Saya percaya angka ini sebenarnya masih rendah daripada realitinya atau bilangan sebenar,” tambah Kahiry.

Oleh yang demikian, setiap individu perlu berusaha sepenuh hati untuk kembali mengamalkan gaya hidup yang sihat agar selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS). Walaupun ini adalah salah satu inisiatif daripada kerajaan, ianya boleh memberikan kesan yang baik terhadap kesihatan diri rakyat Malaysia, dan sekaligus mengurangkan jumlah pesakit kronik. Tambahan pula, pesakit yang menghidap penyakit kronik terbuka kepada bahaya di waktu pandemik COVID 19 yang masih belum pulih sepenuhnya ini. 

Dalam Agenda Nasional Malaysia Sihat, intipati yang paling utama adalah dengan melakukan pemeriksaan kesihatan kendiri. Terdapat banyak cara bagi menangani penyakit jika pengesanan secara awal telah dilakukan. Sebagai contoh, pesakit yang dikesan mempunyai bacaan gula yang tidak normal perlu dirujuk ke klinik diabetik bagi mendengar ceramah berkaitan kencing manis, cara pemakanan yang betul dan cara penjagaan kaki. 

Kempen dan pelbagai inisiatif telah banyak dijalankan setiap tahun. Namun, kesedaran rakyat Malaysia masih rendah. Kerajaan terpaksa berbelanja besar untuk merawat pelbagai penyakit yang sepatutnya boleh dicegah melalui sikap yang betul. Setiap kita perlu bersama berusaha untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat sebagai salah satu azam bagi tahun 2022. ***

Leave a Reply