Taskhir: Antara Tuhan, Insan dan Alam

Oleh Muhammad Aidil Noor Azizul

Alam semesta diciptakan lebih awal daripada kejadian manusia. Alam semesta yang terdiri daripada aneka ragam makhluk, sama ada yang berakal dan yang tidak berakal, yang berbicara dan yang diam, yang kecil dan yang besar, yang hidup dan yang mati ini diciptakan oleh Allah S.W.T dan patuh pada setiap perintah-Nya. Daripada pembentukan gugusan bintang di cakerawala sehinggalah pengedaran partikel atom yang tidak berupaya dilihat oleh mata kasar, masing-masing telah tercatat fungsinya yang tersendiri. Kerapian semua makhluk lingkungan alam termasuk manusia merupakan sunnatullah yang sangat mengagumkan dan sempurna seperti mana firman Allah S.W.T:

œDialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan “ (mu) “ dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? (Al-Mulk: 3)

Sesungguhnya pemerhatian terhadap alam semesta bukan sahaja menimbulkan rasa takjub akan kekuasaan Allah, bahkan mendidik jiwa dan melatih minda untuk tergolong dalam kalangan ulul albab, kumpulan manusia berfikir yang disebutkan beberapa kali dalam Al-Quran. Menerusi deria yang sentiasa berusaha menyingkap apa yang tersembunyi di sebalik ciptaan-Nya, akan timbul dalam hati kumpulan ini perasaan mengagungkan Allah S.W.T dan takut terhadap seksa-Nya. 

Di sini kita dapat lihat bahawa aturan alam ini mempunyai hubungan yang sangat istimewa antara Sang Pencipta dan manusia yang mengkajinya. Ia mendekatkan jiwa-jiwa insan yang tidak lelah mencari kebenaran dengan rahmat-Nya. Ia juga membezakan antara khazanah ekologi Islam dengan khazanah ekologi yang dipegang sebahagian ateis yang menyangka kejadian alam ini terbentuk dengan sendirinya dan memiliki kuasanya yang tersendiri dengan mempercayai kekuasaan mother nature. Hubungan antara Allah S.W.T, manusia dan alam turut terlihat istimewa berdasarkan konsep penundukkan alam oleh Allah S.W.T supaya manusia dapat mengambil manfaat daripadanya. Konsep ini dinamakan sebagai konsep taskhir dalam Islam. 

Taskhir bererti membebankan sesuatu untuk tujuan tertentu secara paksa. Ia berasal daripada kalimah سَخَّرَ yang membawa makna ˜menundukkan. Konsep ini boleh digambarkan bahawa segala ciptaan Allah di langit dan di bumi ditundukkan untuk mengikuti sistem sunnatullah dan berkhidmat kepada manusia. Melalui taskhir, kesempurnaan hikmah Allah dapat dimanifestasikan di peringkat alam semesta. Lantaran itu, manusia dapat menikmati sumber alam secara meluas untuk menjamin kehidupan dan kesejahteraan hidup mereka. Dalam erti kata lain, Islam telah menjadikan manusia, makhluk yang dilebihkan akal fikiran dan hubungan khusus dengan Sang Pencipta sebagai penguasa terhadap alam dengan menguruskannya sepenuh penguasaan. 

Terdapat pelbagai contoh taskhir atau penundukkan alam yang telah disebut dalam Al-Quran. Antaranya, dalam Surah Al-Anam ayat 99, telah diterangkan fenomena penurunan hujan yang membolehkan tanam-tanaman menghijau. Buah-buah yang terhasil daripadanya kemudian manusia jadikan sumber makanan bagi memastikan kelangsungan hidup mereka. Selain itu, pergantian antara siang dan malam di mana siang itu diisi dengan pencarian rezeki halal manakala malam itu pula diisi dengan rehat dan ibadah. Semua ini telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. untuk manfaat kehidupan sekalian manusia di samping mengingatkan mereka tentang rahmat-Nya yang tidak berkecuali dan hakikat bahawa tahap kebergantungan mereka terhadap Allah adalah sangat tinggi. Tanpa taskhir, alam ini serta manusia yang menghuninya akan menjadi kucar-kacir dan tidak terurus. 

Kendatipun begitu banyak nikmat yang telah dikurniakan, manusia tidak pernah lari daripada sifat leka dengan kemahuan material. Kadang kala kita sering lupa untuk memikul amanah dalam memimpin dan menjaga kemakmuran dunia ini. Lebih mudah untuk kita lupa jikalau tidak dilihat keistimewaan hubungan yang dibincangkan sebentar tadi. Tidak kira betapa banyak sumber alam yang digunakan sepanjang peradaban manusia, kita akan berterusan menyalahgunakan ˜penguasaan yang diamanahkan kerana menyangka kekuasaan manusia itu lebih tinggi daripada segala kekuasaan. Seperti firman Allah S.W.T: 

œDan Fir˜aun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata, œWahai kaumku! Bukankah kerajaan Mesir itu milikku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku; apakah kamu tidak melihat? (Az-Zukhruf: 51)

Firaun seolah-olah beranggapan bahawa penguasaannya atas segala bidang tanah dan air sungai yang mengalir telah memberikannya hak untuk memperhambakan manusia. Kesombongan serta penguasaan Firaun terhadap ahli Mesir telah membuatkannya diakui sebagai tuhan. Akan tetapi, penguasaan itu kemudian dicabar oleh Allah S.W.T dengan terselamatnya Nabi Musa dan pengikutnya dan binasanya Firaun di Laut Merah. Allah sebagai penguasa mutlak mempunyai kekuasaan untuk menarik apa sahaja nikmat hamba-hamba yang dikehendaki-Nya. Tiada kuasa lain yang dapat menandingi kuasa-Nya. Tiada rahsia alam yang tidak diliputi pengetahuan-Nya yang Maha Luas.

Kisah ini boleh dijadikan peringatan buat sekalian manusia supaya menyedari bahawa penguasaan dan pengetahuan kita terhadap alam secara keseluruhannya adalah terbatas, tidak sempurna dan bersifat sementara. Segala kerosakan di bumi ini berpunca daripada tangan-tangan yang tidak mengenal sempadan penguasaan yang diletakkan oleh Allah S.W.T dan akal yang tidak mempelajari kesilapan manusia-manusia sebelumnya. 

Oleh yang demikian, adalah sangat penting untuk setiap individu memastikan interaksi diri dengan alam berdasarkan penghayatan sunnatullah. Kita perlu memahami hikmah di sebalik penciptaan fenomena-fenomena alam yang sememangnya berada dalam kemampuan manusia untuk diambil manfaat daripadanya. Dari sudut pandang rohani pula, kesedaran terhadap titik-titik perkongsian antara insan dan alam mampu mengukuhkan pendirian iman. Tamsilnya, penyertaan makhluk di alam ghaib seperti malaikat dan jin serta makhluk di bumi seperti gunung-ganang dan unggas yang juga bersama-sama manusia dalam melakukan ketaatan dan bertasbih memuji Allah S.W.T. 

Di samping itu, kita harus memelihara kesepaduan ilmu dan keharmonian antara manusia dan alam yang sudah lama terbina. Semenjak diturunkan insan ke bumi, peradaban dunia mampu berkembang dan mencapai puncak kegemilangannya dengan bantuan alam dan penyesuaian insan dengan alam tersebut. Adapun manusia itu diciptakan dengan sifat lemah, Allah memudahkan baginya rezeki dan mengurniakan nikmat daripada langit, awan dan matahari untuk keperluan harian. Bayangkan sekiranya udara yang memberi nafas kepada kita pada hari ini perlu dihasilkan bagi meneruskan kehidupan? Tentu sekali kita akan terasa terbeban untuk mentaati setiap perintah-Nya dek kerana kelemaratan hidup. 

Selain itu, dalam menghayati sunnatullah, hak-hak insani berkaitan alam juga mesti dijaga. Hak-hak perkongsian sesama manusia dalam menikmati dan memanfaatkan rezeki daripada Allah S.W.T yang sama rata menjadikan tiada seorang pun melebihi yang lain untuk mendapatkannya. Tidak wajar bagi suatu kumpulan manusia itu memonopoli khazanah alam tanpa memikirkan yang keperluan orang lain atas dasar kebendaan. Hal ini bukan sahaja menyebabkan penyalahgunaan sumber alam, bahkan menafikan hak manusia yang dituntut dan dijulang tinggi oleh Shariah. 

Akhir sekali, kita, sebagai khalifah sewajarnya melaksanakan tanggungjawab melestarikan alam dan memelihara hak-haknya. Kegiatan-kegiatan yang menindas alam seperti menebang pokok dan memburu binatang secara haram, menyeksa bintang dan mencemarkan sungai perlu dibanteras bagi memastikan keseimbangan ekosistem terjamin. Dalam pada itu, kita patut manfaatkan sumber alam sebaik mungkin dan memupuk rasa cinta terhadap alam kerana tiadalah kerosakan bagi mereka yang mengakui keagungan Penciptanya dan menghargai segala ciptaan-Nya. Persis kata Prof. Dr. Shaykh ˜Ali Jumuah dalam bukunya, Alam Sekitar dan Pemeliharaannya dari Perspektif Islam: 

œHubungan antara muslim dan bumi berlegar pada tiga lapisan. Peringkat terbawah dan terdekat ialah peringkat pengambilan manfaat daripada alam yang melibatkan soal jasad dan tubuh, manakala peringkat pertengahan pula ialah peringkat perenungan terhadap alam dan pengambilan iktibar yang melibatkan soal akal dan peringkat tertinggi ialah peringkat kecintaan dan kasih sayang yang melibatkan soal spiritual dan jiwa manusia

Hakikat saling kebergantungan dan keharmonian bersama antara manusia dan alam inilah yang membuktikan bahawa hanya ada satu Sang Pencipta. Allah adalah satu-satunya Pencipta dan Pengatur alam semesta ini yang tiada tolok bandingnya. Jika ada tuhan-tuhan lain selain Allah di langit mahupun di bumi, sudah tentu akan berlaku perselisihan dan ketidakseimbangan kuasa yang menjurus kepada kebinasaan seluruh alam. Sesungguhnya tiada aturan yang sebaik-baik aturan-Nya dan Dialah yang paling berhak menentukan aturan sesuai dengan tujuan yang diinginkan-Nya.***

Leave a Reply