Oleh Luqman Al-Hakim
Masalah kesihatan mental bukanlah suatu fenomena yang baru di kalangan masyarakat Malaysia. Masalah ini telah lama berada dalam masyarakat kita dan jumlah kes dikatakan semakin meningkat berikutan semakin kompleks kehidupan manusia yang sentiasa memburu pembaharuan demi pembaharuan. Ia juga dikenali sebagai proses modernisasi yang mempunyai karenahnya tersendiri.
Berikutuan berubahnya pola kehidupan manusia yang melalui pelbagai tahap perubahan serta pentafsiran terhadap istilah kemajuan, masalah kesihatan mental terus menjadi cabaran yang terpaksa dihadapi oleh masyarakat. Sama seperti penyakit fizikal yang lain, masalah kesihatan akal juga akan terus menjadi agenda yang akan terus diperkatakan. Jika tidak ditangani secara bijaksana, ia seakan menjadi duri dalam daging yang secara senyap menjadi pembunuh utama manusia.
Kes bunuh diri yang kian meningkat menjadi satu indikator bahawa penyakit mental bukanlah suatu fenomena yang boleh dipandang ringan. Statistik yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan jumlah kes bunuh diri telah mencecah 1,099 kes sebagaimana dicatatkan sejak 2020 sehingga Mei 2021.
Angka ini sudah memadai untuk menggambarkan tenatnya masyarakat Malaysia dalam menghadapi masalah kesihatan mental. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula melaporkan, purata satu kejadian bunuh diri pada setiap 40 saat di seluruh dunia. Tindakan mengambil nyawa sendiri ini rata-rata berpunca daripada masalah kesihatan mental, didorong oleh faktor keluarga, pekerjaan serta persekitaran.
Penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia juga menjadi penyebab yang memberi impak signifikan kepada masalah kesihatan mental. Negara kita terpaksa menjalani kehidupan di era wabak COVID-19 ini dengan norma baharu. Pemakaian pelitup muka, peraturan penjarakan fizikal serta pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) perlu dijadikan amalan oleh setiap lapisan masyarakat tidak mengira faktor umur.
Rentetan daripada itu, rata-rata rakyat Malaysia terkesan dengan perubahan norma ini terutama golongan B40. Ada yang kehilangan sumber pendapatan, dibuang kerja serta dihalau dari rumah sewa. Tidak lupa juga yang bergelut dengan konflik rumah tangga dan penceraian serta pengasingan dari rangkaian sokongan keluarga dan rakan.
Akibatnya, tekanan yang dialami oleh masyarakat yang mengalami masalah kesihatan mental ini bertambah menyebabkan mereka mengambil keputusan yang tidak betul seperti membunuh diri. Di samping itu, beberapa faktor dalaman seperti faktor biologi atau genetik, trauma, sejarah keluarga, menghidap penyakit kronik dan juga mempunyai perasaan kesepian dan kesunyian turut menjadi penyumbang kepada isu kesihatan mental.
Pandangan sinis sesetengah pihak terhadap isu ini turut menjadi penyumbang kepada peningkatan kes kesihatan mental. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 91.2 peratus daripada 100,000 panggilan yang diterima badan kerajaan adalah melibatkan isu kesihatan mental. Rata-rata pesakit mental ini memerlukan sokongan daripada segi emosi dan kaunseling. Angka tersebut menunjukkan isu berkenaan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh.
Terdapat beberapa gejala yang berkaitan dengan masalah mental seperti kemurungan, kegelisahan, skizofrenia, alzheimer, bipolar, gangguan tekanan selepas trauma (PTSD), dan gangguan obsesif-kompulsif (OCD). Seseorang yang mengalami gangguan mental ini boleh dikesan dengan melihat kepada tanda-tanda yang biasa dialami oleh pesakit masalah mental.
Antara gejala berkenaan ialah sukar untuk tidur malam seperti insomnia, suka menyendiri dan kurang atau tidak bersosial dengan masyarakat, mendengar sesuatu yang tidak benar serta mengalami mood swing atau perubahan emosi yang tidak menentu. Itu adalah beberapa contoh indikator yang boleh dilihat untuk mengenal pasti jika sesorang itu mengalami masalah kesihatan mental. Akan tetapi, ada juga pesakit yang tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa dia sedang bergelut dengan masalah mental.
Stigma masyarakat terhadap isu kesihatan mental ini agak merunsingkan. Ini kerana sesetengah daripada mereka menganggap masalah kesihatan mental ini sesuatu yang negatif yang boleh menyebabkan individu yang menghidapinya semakin tertekan dan berasa malu untuk meluahkan dan mendapatkan rawatan awal daripada pakar.
Cemuhan dan ejekan yang biasa dihamburkan oleh masyarakat kepada pesakit mental seperti banyak dosa, lemah iman, mahukan perhatian dan tidak siuman antara perkara yang tidak mahu didengari oleh pesakit. Disebabkan oleh stigma ini, mereka merasakan diri mereka dipinggirkan dan pandangan atau perasaan mereka tidak difahami dan didengari oleh masyarakat, seolah-olah masalah yang dihadapi mereka tidak penting.
Meskipun negara telah mencapai kemajuan dalam teknologi rawatan penyakit mental, stigma sosial akan tetap menjadi penghalang untuk mencapai pemulihan yang terbaik. Pakar sosiologi Kanada, Eric Goffman mentakrifkan stigma sebagai sifat yang amat mencemarkan dan membahayakan.
Kesannya, jika stigma ini tidak dihapuskan, pesakit pastinya tidak berusaha untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya dan membiarkan masalah mental itu berlarutan. Selain itu, pemahaman masyarakat terhadap isu masalah kesihatan mental ini akan berada di takuk yang sama jika tiada usaha untuk memberi pendedahan tentang kepentingan menjaga kesihatan mental.
Pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak-pihak tertentu dalam membantu mereka yang mengalami masalah kesihatan mental. Berikutan itu, tanggal 10 Oktober setiap tahun telah disytiharkan sebagai Hari Kesihatan Mental Sedunia. Usaha ini dibuat bagi memupuk kesedaran dan sensitiviti masyarakat terhadap penjagaan kesihatan mental. Ia juga merupakan simbolik kepada keperihatinan masyarakat dunia terhadap isu ini. œMenuju Kesaksamaan Kesihatan Mental merupakan tema bagi sambutan pada kali ini. Sambutan ini merupakan satu wadah dalam memberi sokongan jitu yang diperlukan oleh pesakit dalam usaha mereka menghilangkan beban yang terpikul.
Di Malaysia, terdapat agensi yang ditubuhkan seperti Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA) yang bertujuan untuk membawa perubahan dalam masyarakat mengenai stigma masalah kesihatan mental. Kementerian Kesihatan Malaysia juga tidak terlepas dalam usaha membantu dan memulihkan pesakit psikiatri dengan mewujudkan Pusat Kesihatan Mental Komuniti (Mentari) yang menawarkan perkhidmatan Perkhidmatan Pesakit Luar, Perkhidmatan Psikiatri Komuniti dan Perkhidmatan Rehabilitasi yang turut menyediakan Ujian Saringan awal bagi pesakit yang belum mempunyai diagnosis.
Dalam pada itu, Kempen Media Lets TALK Minda Sihat telah dilancarkan oleh KKM dengan misi untuk menggalakan masyarakat yang mengalami masalah kesihatan mental untuk mendapatkan sokongan dan bantuan bagi mencapai kesejahteraan mental serta menggalakkan orang sekeliling pesakit seperti ahli keluarga dan rakan-rakan supaya memberi sokongan dan bantuan yang secukupnya.
Memecahkan stigma amatlah penting dalam mencegah sebarang bentuk kecederaan fizikal dan bunuh diri di kalangan penghidap penyakit mental. Bunuh diri bukanlah satu jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Dalam Islam, perbuatan membunuh diri adalah perbuatan dosa besar yang dilarang. Daripada Abu Hurairah RA berkata: Nabi SAW bersabda: œOrang yang menjerut dirinya, maka dia akan berterusan menjerut dirinya di dalam neraka dan orang yang menikam dirinya, maka dia akan berterusan menikam dirinya di dalam neraka.(Riwayat al-Bukhari).
Hadis diatas merupakan hujah bahawa Islam amat melarang perbuatan bunuh diri. Ia seharusnya menjadi peringatan kepada pesakit supaya terus berusaha mendapatkan rawatan. Tanda-tanda emosi yang tidak stabil yang kerap seperti mudah marah, menangis sepanjang masa, rasa bersalah yang berlarutan hampir setiap hari, hilang minat untuk meneruskan aktiviti harian seperti mengelakkan interaksi dengan keluarga, rakan, dan masyarakat adalah tanda awal bahawa orang itu memerlukan bantuan.
Gejala lain seperti kecenderungan untuk mengasingkan diri, perubahan fizikal yang mendadak seperti penurunan berat badan, corak tidur yang tidak stabil,tidur tidak mencukupi atau berlebihan, dan keletihan yang berterusan juga merupakan tanda amaran bahawa seseorang itu perlu mendapatkan rawatan dan perkhidmatan daripada kaunselor dan pakar psikiatri.
Langkah-langkah pencegahan dan rawatan perlulah atau wajb dilakukan supaya masalah atau penyakit yang dialami tidak menjadi lebih teruk dan membawa kepada kecenderungan membunuh diri. Pesakit amat memerlukan sokongan. Institusi keluarga seharusnya menjadi benteng awal kepada pesakit dalam mendepani kesengsaraan kecelaruan emosi. Ibu bapa perlu bertindak seawal mungkin jika anak tanggungan mereka sudah melalui diagnosis kecelaruan minda.
Masyarakat perlu terus menghulurkan bantuan sokongan dan menjadi pendengar yang baik. Kepedulian masyarakat bakal membantu mereka yang mengalami ujian kecelaruan minda agar melihat dunia dengan positif dan harmoni.
Bersamalah membantu mereka melihat ke hadapan, malah membuat persediaan terbaik untuk hidup yang kekal abadi. Hargailah nikmat usia dan kesihatan yang diberikan Allah dan menjadikannya sebaik-sebaik manfaat dan pelaburan akhirat. Masyarakat Malaysia Boleh! ***