Rentas Negeri: Rakyat Mesti Prihatin Nasihat KKM

Oleh Fatihah Sabtu

Penantian adalah satu penyiksaan lebih-lebih lagi sepanjang situasi pandemik COVID-19 yang telah melanda negara ini lebih setahun lalu. Lebih parah, kenaikan jumlah kes positif di Malaysia yang mula memuncak pada awal tahun pertama 2021 menyebabkan beberapa larangan telah dikenakan oleh kerajaan. Ia termasuklah aktiviti merentas negeri.

Setelah menanti dengan penuh sabar wajah rakyat yang dulunya gelisah kini kembali tersenyum gembira. Gelisah itu makin reda apabila Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa individu yang telah melepasi tarikh matang dos vaksin kedua dibenarkan melakukan aktiviti merentas negeri, termasuk pulang ke kampung halaman untuk bertemu dengan keluarga tercinta setelah sekian lama terpisah.

Setakat ini, kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa telah mencapai 90 peratus. Kadar vaksinasi di Malaysia meningkat dengar cepat disebabkan oleh  program imunisasi kebangsaan terhadap remaja yang berusia 12 hingga 17 tahun telah mula dilaksanakankan oleh kerajaan sekitar pertengahan bulan September lalu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan di laman Twitter beliau bahawa Malaysia merupakan salah satu negara terpantas di dunia yang memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada remaja. Tambah beliau lagi, dalam tempoh dua bulan sahaja kadar vaksinasi penduduk Malaysia yang berumur 12 hingga 17 tahun sudah melebihi 75 peratus.

Sudah semestinya, pelbagai rancangan rapi telah dibuat oleh kerajaan untuk memastikan Malaysia dapat terus membendung wabak ini walaupun kelonggaran merentas negeri telah diberikan. Akan tetapi, apakah rakyat sudah benar-benar bersedia untuk bersama-sama kerajaan mengawal wabak covid 19 daripada terus merebak? Inilah persoalan yang perlu kita renungkan.  

Tanggungjawab membendung wabak ini tidak hanya terletak pada bahu kerajaan. Ia juga merupakan tanggungjawab individu agar tidak menjadi penyebar virus ini ketika pulang ke kampung halaman, lebih-lebih lagi terdapat ahli keluarga yang mempunyai penyakit kronik. Umum mengetahui bahawa virus COVID-19 akan memberikan tindak balas yang lebih teruk terhadap warga emas yang mempunyai penyakit kronik seperti sakit jantung, obesiti, darah tinggi dan diabetes. Oleh itu, kerajaan menyarankan agar setiap individu yang ingin pulang ke kampung halaman melakukan pemeriksaan kendiri dengan menggunakan Saliva Rapid Test Kit yang boleh didapati di farmasi. Ia dijual dengan harga siling RM19.

Menurut Khairy Jamaluddin dalam satu sidang media bahawa kerajaan tidak mewajibkan pelaksanaan ujian kendiri COVID-19 bagi semua individu yang ingin merentas negeri. Di samping itu, beliau juga mengatakan bahawa cadangan untuk mewajibkan pemeriksaan terhadap semua individu sebelum melakukan aktiviti merentas negeri sudah dibincangkan namun tiada kaedah efektif untuk perkara tersebut dikuatkuasakan. Tambah beliau, sekiranya kerajaan membuat sekatan jalan raya hanya untuk memeriksa status ujian kendiri COV1D-19, jalan raya akan menjadi bertambah sesak dan akan mengakibatkan pelbagai masalah lain berlaku.

“Kita dah kaji cadangan itu tapi tiada cara untuk kuat kuasakannya. Takkan nak laksana sekatan jalan raya untuk periksa setiap individu, kerana rakyat akan marah jika jalan sesak sedangkan mereka sudah tunggu lama untuk rentas negeri, ujarnya.

Katanya lagi, keadaan di Langkawi baru-baru ini adalah kes yang agak berbeza kerana gelembung pelancongan di Langkawi tidak melibatkan jumlah yang ramai. Namun, beliau menegaskan bahawa semua pihak perlu jujur dan mempunyai tanggungjawab kendiri bagi memastikan diri bebas COVID-19 sekiranya hendak melakukan aktiviti merentas negeri.

Setelah lebih dua tahun hidup bersama wabak ini, rakyat semestinya sudah arif tentang langkah-langkah pencegahan dan juga langkah yang perlu dilakukan sekiranya disahkan positif COVID-19. Amalan rutin yang telah dipraktikkan selama wabak COVID-19 menyerang seperti membasuh tangan dengan kerap, memakai topeng muka dengan betul, memastikan jarak satu meter dan tidak berada dalam tempat tertutup dalam tempoh yang lama perlu diamalkan secara berterusan.

Rakyat perlu belajar daripada situasi yang mencemaskan semua pihak apabila kes COVID-19 pernah melebihi angka 20 ribu dan petugas barisan hadapan terpaksa bekerja siang dan malam untuk membendung situasi yang makin menekan selain mereka juga bergelut dengan nyawa dan keselamatan diri. Ini belum dilihat bagaimana kes kematian yang naik mendadak saban hari.

Seluruh rakyat mengharapkan agar Malaysia sembuh daripada wabak virus ini agar dapat kembali menjalani kehidupan secara normal. Oleh itu, marilah kita bersama berganding bahu memerangi wabak ini dengan meningkatkan rasa tanggungjawab kendiri demi diri, keluarga dan orang sekeliling. Kebebasan merentas negeri dan daerah yang sedang kita nikmati sekarang haruslah diurus dengan sebaik-baiknya. Ini kerana serangan virus COVID-19 belum berakhir sepenuhnya. Ia masih berkeliaran di sekitar kita. ***

Leave a Reply