Oleh Aznan Mat Piah
Benarkah cemburu itu tanda sayang? Bagaimana pula dengan cemburu yang membabi buta sehingga menyebabkan pasangan anda mengalami tekanan emosi?
Bayangkan apa agaknya perasaan dan reaksi anda jika diajukan pelbagai soalan atau dilemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas oleh pasangan anda? Jika sekali dua mungkin anda masih boleh menerima, mampu bersabar dan bertindak positif. Bagaimana jika keadaan ini berlaku kepada anda hampir setiap hari dan berlarutan hingga pasangan melepaskan geram dengan memukul anda?
Inilah gambaran yang cuba dipaparkan dalam drama bertajuk Andainya Takdir yang disiarkan di Netflix. Drama bersiri ini diterbitkan dalam tahun 2017 dan sambungannya pada tahun 2018 dan mula disiarkan dalam tahun 2019 di TV3. Sebuah kisah masyarakat yang terdapat dalam drama ini berkisar kepada seorang suami penghidap sindrom Othello atau dalam bahasa mudah, cemburu buta.
Nama sindrom Othello sebenarnya datang daripada watak dalam pementasan Shakespeare bertajuk “Othello”. Dalam pementasan tersebut, watak utama seorang lelaki bernama Othello telah membunuh isterinya kerana mempercayai dia berlaku curang.
Cemburu buta, termasuklah keganasan rumah tangga, sebenarnya sudah lama wujud dalam masyarakat kita seperti yang digambarkan dalam drama bersiri œAndainya Takdir.
Cerita Penulis
Cerita drama ini ditulis oleh Wan Mahani Wan Hassan. Drama ini telah mendapat pelbagai reaksi daripada penonton. Ramai yang tidak sanggup menonton kekejaman dan penderaan yang dilakukan oleh Airil (Shukri Yahaya) terhadap isterinya Fatihah (Nina Iskandar) dan menganggap Fatihah sebagai isteri yang terlalu baik. Tak kurang penulis skrip mendapat kecaman penonton dan dikatakan agak keterlaluan.
Bagaimanapun, menurut penulis, “Andainya Takdir” merupakan kisah benar yang berlaku dalam rumahtangga seorang kenalannya yang tak ramai mengetahuinya. Terutama mengenai sikap suaminya yang mengalami masalah penyakit mental Othello, iaitu tidak yakin dengan pasangan.
Wan Mahani menceritakan drama ini ditulis atas persetujuan kenalannya dan tujuannya bukanlah untuk memalukan mana-mana pihak tetapi adalah sebagai pengajaran kepada semua pasangan yang akan atau telah berumah tangga.
Katanya watak Airil (Shukri Yahaya), Fatihah (Nina Iskandar) dan ibu mertuanya (Sheila Mambo), adalah watak sebenar seperti yang diceritakan oleh kenalan beliau kepadanya. Sementara yang lain-lain itu, katanya, adalah mengikut situasi semasa.
“Jangan terkejut”, tambahnya, “jika saya katakan bahawa saya juga menerima beberapa mesej yang menyatakan bahawa cerita ini sama atau hampir sama dengan kisah yang berlaku dalam rumah tangga mereka. Jadi jelasnya cerita ini benar-benar wujud dan berlaku bukan kepada seorang tetapi kepada ramai wanita-wanita lain. Ini merupakan watak psiko yang sangat mencabar bagi pelakon Shukri Yahaya (sebagai Airil) dan œbagi saya dia telah melaksanakan tugasnya dengan sangat baik. œSaya juga kagum dengan peranan Nina Iskandar (sebagai Fatihah), Sheila Mambo (sebagai Normah, iaitu ibu mertua Fatihah), dan Puteri Balqis (sebagai Aleeya anak kepada pasangan Airil dan Fatihah).
Sinopsis
Drama ini mengisahkan ketabahan Fatihah dalam mempertahankan rumahtangganya bersama Airil yang penuh cabaran. Pasangan suami isteri ini mempunyai seorang puteri bernama Aleeya. Kehidupan tiga beranak ini sentiasa dalam keadaan getir kerana Airil merupakan seorang yang panas baran dan cemburu buta. Segala perbuatan Fatihah dipantau oleh Airil dan setiap perbuatan Fatihah yang dilakukan tanpa kenan Airil, Fatihah pasti akan dipukulnya hingga lebam.
Fatihah yakin bahawa dia mampu bertahan dengan sikap suaminya yang sebegitu demi Aleeya. Namun kesengsaraannya tidak tertumpu kepada suaminya saja, sikap ibu mertuanya pula tidak menyumbang kepada sebarang kebaikan dalam perkahwinannya.
Ibu mertua Fatihah, Normah, sentiasa bersikap keras kepala, menghasut, berprasangka buruk, dan membuat Fatihah kegetiran. Normah juga tidak disenangi orang kampungnya kerana sikapnya yang suka menuduh tanpa soal siasat.
Fatihah juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa buli emosi Normah apabila segala permintaan Fatihah kepada suaminya ditentang habisan olehnya. Airil pula sentiasa menyebelahi ibunya sehingga sering membuat Fatihah berasa terpinggir.
Sungguhpun Airil mempunyai masalah panas baran dan memukul Fatihah, dia sebenarnya (seperti yang digambarkan) terlalu menyayangi Fatihah. Setiap kali Fatihah dipukul, Airil akan cuba memujuk isteri untuk berbaik-baik semula dengan memberi hadiah atau menunjukkan kasih sayang.
Fatihah bertindak menuntut perceraian apabila beliau tidak tertahan lagi dengan penderaan yang sering sangat dilaluinya. Setelah perceraian, Airil telah berusaha untuk memujuk isterinya untuk rujuk semula perkahwinan mereka. Airil juga berusaha untuk mengubah sikapnya dengan mempelajari cara-cara untuk mengawal sikap cemburu dan kemarahan yang melampau itu setelah menerima rawatan pakar.
Demi Aleeya, Fatihah akhirnya bersetuju untuk kembali kepada Airil setelah beliau menghadapi pelbagai cabaran untuk cuba hidup sendirian tanpa Airil.
Sindrom Othello
Dikenali juga sebagai pathological jealousy, Othello ialah sejenis gangguan delusi di mana seseorang itu cederung membuat pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap pasangan mereka tanpa sebarang bukti yang kukuh. Dakwaan mereka ini dibuat berdasarkan perkara yang tidak masuk akal ataupun perkara yang tidak signifikan.
Berbeza dengan penyakit delusi yang lain, penghidap sindrom ini cenderung untuk menghendap atau melakukan stalking dan sabotaj serta berupaya bertindak ganas. Penyakit ini boleh wujud dalam beberapa bentuk seperti obsessi dan delusi.
Sindrom Othello boleh disebabkan oleh sifat insecure atau kurang keyakinan semula jadi yang dimiliki seseorang, atau melalui pengalaman lampau mereka. Ia juga boleh dijumpai dalam kalangan penghidap penyakit mental tertentu. Antara penyakit yang dikaitkan dengan masalah cemburu membabi buta ialah schizophrenia dan juga penyakit bipolar.
Akibat cemburu yang melampau, penghidap sindrom ini cenderung untuk melakukan penderaan fizikal dan mental terhadap pasangan mereka. Penghidap juga berhadapan dengan obsesi yang disertai oleh pemikiran cemburu yang melampau diikuti oleh satu set tindakan yang dilakukan berulang kali (compulsive) demi memuaskan pemikiran obsesif tersebut. Misalnya, akibat sering hadir pemikiran negatif tehadap pasangan dan rasa cemburu yang membuak-buak, sesorang itu mungkin akan menelefon pasangannya berkali-kali untuk mengetahui perihal mereka.
Antara perbuatan kompulsif yang mungkin dilakukan oleh penghidap sindrom ini ialah: memeriksa mesej dalam telefon pasangan; menyaring setiap interaksi dalam akaun media sosial pasangan; menuduh pasangan berlaku curang jika mengelak daripada diserang; mengekori atau menghendap pasangan dari masa ke semasa; menghadkan pergaulan pasangan walaupun dengan kawan rapat atau ahli keluarga.
Gambaran perbuatan dan tindakan sedemikian yang dihadapi oleh penghidap sindrom cemburu buta dapat dilihat dalam drama ini yang berlaku ke atas Fatihah, di mana suaminya Airil bertukar menjadi ganas apabila mengetahui isterinya Fatihah menemui atau berbual dengan mana-mana lelaki di tempat kerja atau kenalan rapat dan ahli keluarga. Semua ini dapat dilihat dalam jalan cerita yang dipaparkan dalam drama ini.
Menurut pakar, perasaan cemburu tidak datang serta merta begitu saja. Ada penyebab di sebalik masalah ini, yakni kurangnya kepercayaan terhadap pasangan, terhadap proses dalam hidup, dan begitu juga terhadap diri mereka sendiri. Dalam skala tertentu, perasaan ini dapat mengganggu keharmonian hubungan pasangan.
Satu kajian yang diselenggarakan oleh University of Delaware mendapati perasaan cemburu dapat œmembutakan seseorang. Kajian itu mengungkapkan bahawa seseorang yang cemburu menjadi mudah teralih sehingga dia tidak mampu menemui sasaran atau matlamat yang sedang dicari.
Antara penyebab cemburu buta dikatakan seseorang memiliki sejarah pengabaian, kehilangan atau pengkhiatan; takut ditinggalkan; terdapat ketidak-pastian dalam hubungan; merasa insecure dan kurang mempercayai diri sendiri; mengharapkan hubungan yang tidak realistik; dan terlalu kuathir.
Sekiranya salah seorang tidak dapat mempercayai satu sama lain, hubungan yang terjalin antara mereka menjadi tidak sihat. Seseorang itu menjadi cepat marah jika pasangan bergaul dengan seorang berlainan jenis. Dan terdapat tanda-tanda stress di mana wajah seseorang ternampak tegang atau mengepal tangan setiap kali pasangan berbicara dengan seseorang berlawanan jenis.
Pakar psikologi mencadangkan cara mengatasinya termasuklah mengakui perasaan cemburu, jadikan cemburu sebagai solusi untuk medapatkan penjelasan dan memahami bagaimana cara untuk berhenti cemburu. Penghidap hendaklah tanamkan kejujuran dan kepercayaan diri kepada pasangan dan perlu mendapatkan kosultasi pakar psikologi sekiranya keadaan meruncing.
Pengajaran dari “Andainya Takdir”
Banyak pengajaran boleh diperolehi daripada tontonan drama ini. Penonton dari awal lagi didedahkan tentang pergolakan dalam rumah tangga akibat sindrom cemburu buta yang berkait rapat dengan ahli keluarga mertua dan masyarakat yang didampingi.
Nasihat saya kepada mereka yang masih belum bersuami atau beristeri pastikanlah sebelum membuat keputusan untuk berumah tangga kenali betul-betul pasangan anda. Selidik dahulu latar belakang pasangan kerana sekiranya anda tersilap pilih atau membuat keputusan, kemungkinan besar anda akan menanggung kesengsaraan dan penderitaan sepanjang hidup berumah tangga. Kenali apa itu cemburu membabi buta atau sindrom Othello dan bagaimana berhadapan dengan cabaran delusi dan sindrom tersebut sekiranya ditakdirkan.
Drama ini, arahan Along Kamaluddin (musim pertama) dan Eoon Shuhani (musim kedua) terbahagi kepada dua season; musim pertama mengandungi 16 episod manakala musim kedua 20 episod. Lakonan pelakon utama drama ini Shukri Yahaya dan Nina Iskandar sangat menarik dalam menghidupkan watak mereka sebagai suami isteri yang berhadapan dengan pergolakan dan cabaran hidup berumah tangga.***