Oleh Aznan Mat Piah
Sekali lagi Malaysia menyambut Hari Kebangsaan tahun ini dalam suasana pandemik. Tiada sambutan besar-besaran atau perarakan seperti yang pernah diadakan pada tahun-tahun sebelum 2020.
Namun, semangat patriotisme di kalangan rakyat tidak luntur sungguhpun kita menyambut hari bersejarah pada hari ini dalam keadaan kita masih memerangi pandemik dan negara kita berhadapan dengan krisis kesihatan dan ekonomi yang buruk. Demikian jugalah dengan asas perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum masih kukuh. Lantaran itu, kita sangat-sangat bersyukur di atas nikmat perpaduan dan keamanan yang dikurniakan kepada negara kita.
Tema Hari Kebangsaan tahun ini œMalaysia Prihatin sangat bersesuaian dengan keadaan semasa. Kita harus tanam dalam diri kita sebagai ahli masayarakat sifat keperihatinan. Seperti kata Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakub, œBila kita prihatin, kita empati dengan kesusahan orang lain. Bila kita prihatin, kita jaga keselamatan dan kesihatan komuniti kita. Bila kita prihatin, kita bersatu hati memerangi musuh negara.
Dalam ucapan sempena Hari Kemerdekaan ke 64, beliau menyeru agar kita mendalami dan menghayati tema ini dan memupuk sifat prihatin dalam diri kita. Dengan keprihatinan, kita dapat memutuskan rantaian COVID-19 dan terus kekal dan makmur. Demikian saranan Perdana Menteri.
Dengan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri baru dan kabinet beliau yang baru saja dilantik, sesungguhnya rakyat menaruh harapan tinggi supaya masalah serampang dua mata yang dihadapi kini oleh rakyat negara ini dapat diatasi secepat mungkin.
Ini banyak bergantung kepada kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan dan juga komitmen kerajaan itu sendiri untuk memastikan negara kita keluar daripada pandemik secepat mungkin. Ini juga memerlukan suhu politik daripada kalangan para ahli politik dapat dikawal, dikurangkan atau dihentikan buat sementara waktu sehinggalah krisis yang kita hadapi kini dapat diatasi.
Kerajaan sekarang ini berhadapan dengan cabaran besar untuk memenuhi permintaan rakyat agar membawa negara kita keluar daripada krisis pandemik, krisis yang bukan saja menjejaskan kesihatan rakyat, tetapi ˜kesihatan ekonomi negara yang membabitkan perniagaan, mata pencarian, dan kebajikan rakyat.
Namun, kerajaan tidak boleh mengatasi masalah itu jika ahli-ahli politik tidak menghentikan perbalahan di kalangan mereka dan tidak memberikan kerjasama kepada pemerintah untuk turut menyelesaikan masalah. Harus diingat apa juga kritikan hendaklah bersifat konstruktif supaya ia mampu menyumbang kepada penyelesaian masalah, bukannya mengeruhkan lagi keadaan. Ia menuntut supaya ahli-ahli politik mengamalkan politik kematangan selaras dengan seruan KDMM Yang di-Pertuan Agong supaya mengenepikan perbezaan politik dan memberi tumpuan kepada masalah yang lebih besar yang dihadapi oleh rakyat.
Sambil kita mengenang kembali perjuangan yang telah diberikan oleh para pejuang kemerdekaan negara lebih 60 tahun yang lalu untuk membebaskan negara kita daripada cengkaman penjajah, eloklah kita renung dan ambil iktibar daripada semangat juang mereka. Fikirkan bagaimana kita dapat meneruskan usaha dan semangat juang seperti itu untuk sama-sama memerangi COVID-19, musuh yang kita tidak dapat lihat dengan mata kasar, tetapi telah berjaya melumpuhkan kita. Ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuklah orang ramai dan ahli masyarakat, misalnya, dalam mematuhi peraturan dan standard operating procedures (SOP) yang ditetapkan oleh pemerintah bagi memutuskan rantaian virus.
Program imunisasi COVID-19 kerajaan kini berjalan lancar dan kita mengharapkan akan mencapai imuniti kelompok dalam sedikit masa lagi sekiranya lebih 80 peratus populasi negara telah memperolehi vaksin. Dan sekiranya matlamat ini tercapai, sudah tentu ia akan membawa kesan yang positif terhadap pemulihan ekonomi negara kerana kita mampu membuka semula sempadan negara dan orang ramai akan bebas bergerak dan pelbagai sektor ekonomi dan sosial dapat dibuka luas.
Kita seharusnya mengambil maklum seruan KDMM Yang di-Pertuan Agong untuk kita mengimbau kembali semangat patriotisme dan cintakan tanahair yang tertanam sejak enam dekat lalu. Semangat inilah yang telah menyatu-padukan rakyat dengan tekad dan iltizam untuk bangkit menentang penjajah sehingga kemerdekaan menjadi realiti.
Semangat patriotisme dan kebersamaan di kalangan rakyat berbilang kaum untuk memulih dan membina negara, dalam erti kata pengukuhan penyatuan, patut diteruskan. Kita memerlukan perpaduan dan patriotisme yang tinggi di kalangan rakyat untuk memerangi pandemik, memulihkan ketidakstabilan politik dan membangunkan ekonomi negara, serta memenangi kepercayaan para pelabur asing.
Konsep œKeluarga Malaysia seperti yang diketengahkan oleh Perdana Menteri patut dialu-alukan oleh semua lapisan masyarakat berbilang kaum ketika kita menyambut hari kemerdekaan negara kita hari ini. Semoga semangat kekeluargaan yang diterapkan dalam diri kita semua mampu memupuk keakraban hubungan yang lebih erat sesama kita dalam mengharungi pandemik dan membina masyarakat yang harmoni di kalangan kita.
Semoga semangat patriotisme terus subur dan ditingkatkan dalam diri kita semua bagi membawa negara kita keluar daripada pandemik seberapa segera yang mungkin supaya negara kita menuju kejayaan dan rakyatnya hidup aman dan damai. Merdeka! Merdeka! Merdeka! ***