Oleh Aznan Mat Piah
Suatu ketika dulu mengirim kad Raya menjelang Aidilfitri adalah satu kemestian. Ia merupakan budaya yang diamalkan oleh ramai orang sempena menyambut hari lebaran.
Saya teringat zaman muda dalam tahun-tahun 1970an dan 1980an malah awal 1990an ketika berada di luar negara, masuk saja bulan Ramadan, kita semua sibuk menempah kad Raya untuk dikirimkan kepada sanak saudara, sahabat handai dan rakan taulan yang berada di Malaysia mahu pun di merata tempat di dunia.
Biasanya, dalam minggu kedua kita berpuasa kad-kad Raya sudah mula dihantar dengan menggunakan kaedah pos atau dikirimkan menerusi beg diplomatik untuk diedarkan kepada penerima di segenap tempat.
Ketika itu kad adalah pengganti diri untuk menyampaikan ucap selamat dan memohon maaf zahir dan batin. Ramailah teman-teman dan rakan-rakan sejawat serta ahli keluarga yang menerima kad kita itu akan mengirim balas kad-kad Raya mereka kepada kita. Bukan itu saja, kita juga menerima kad daripada teman-teman dan ahli keluarga yang berjauhan dari kampung halaman. Kita berasa amat gembira menerima kad Raya atau mendapat kad ucapan balas itu.
Menjelang Hari Raya kad-kad balas dan kad-kad Raya yang diterima itu digantung di dinding-dinding rumah atau di ruang tamu sebagai perhiasan dan tatapan apabila kita menerima para tetamu yang mengunjungi rumah atau kediaman kita pada Hari Raya.
Kemeriahan suasana Hari Raya dapat dirasai apabila tetamu-tetamu juga berpeluang membaca kad-kad tersebut sambil menyelami perasaan hati kita. Kad-kad ucap selamat ini adalah dalam berbagai bentuk dan berwarna-warni dihiasi dengan perkataan-perkataan yang dicipta atau direka khas sempena Aidilfitri.
Di samping itu, terdapat kata-kata manis daripada penghantar yang ditulis dengan tulisan tangan mengiringi ayat-ayat yang sudah tercetak. Ayat-ayat yang ditulis itu boleh menyentuh hati dan perasaan serta menitiskan air mata penerima.
Ya, demikianlah situasi suatu ketika dulu. Agak nostalgik apabila kita imbas kembali zaman tersebut di mana dalam keadaan kesibukan bertugas kita sempat memikirkan untuk mengutus kad ucap selamat dan memohon kemaafan sempena Aidilfitri.
Zaman sekarang tiada lagi kad Hari Raya bercetak, kini digantikan dengan kiriman ucapan yang berbentuk poster virtual atau klip video atau rakaman audio yang dimuat-naik dalam media sosial seperti Facebook, Twitter atau WhatsApp. Jarang sekali kita akan menerima kad Raya berbentuk cetak, kalau ada pun mungkin kita terasa janggal kerana ia tidak lagi menjadi amalan dewasa ini.
Dengan perubahan teknologi yang begitu pantas dan ketara ia telah merubah budaya dan cara kita berkomunikasi dan berhubung sekarang ini terutamanya di musim perayaan.
Dalam masa dua hari lagi kita akan menyambut Aidilfitri dalam suasana yang masih dibelenggu oleh pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pegerakan 3.0 (PKP) di seluruh negara yang baru saja diumumkan oleh kerajaan semalam. Tiada perkataan yang boleh menggambarkan perasaan kita ketika terpaksa menyambut kedatangan Syawal dalam keadan begini yang rata-ratanya suram.
Ramai penduduk kota rasa terkesan kerana tidak dibenarkan merentasi daerah dan negeri untuk beraya dengan sanak saudara di kampung halaman. Bagaimanapun, kita perlu berhadapan dengan realiti keadaan semasa di mana negara sedang dilanda pandemik.
Langkah mengenakan semula PKP adalah bertujuan untuk memutuskan rantaian jangkitan virus atas kebimbangan jika langkah berjaga-jaga tidak diambil dikhuatiri bilangan jangkitan akan meningkat dan pihak barisan hadapan tidak mampu mengatasinya.
Sungguhpun kita tidak dapat bertemu muka secara fizikal kita masih boleh berinteraksi menerusi teknologi terkini seperti ˜face time atau ‘video call’ dan media sosial. Sewaktu saya berkhidmat di luar negara lebih 40 tahun dulu, saya tidak terfikir untuk berinteraksi menerusi kemudahan teknologi yang begitu canggih seperti yang terdapat sekarang ini, hanya sekadar mengirim sekeping kad pengganti diri dari seberang laut. Itu pun sudah terasa keseronokannya berhari raya di perantauan jauh dari kampung halaman.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin diucapkan kepada semua pembaca. ***