Amalan Minimalisme dalam Dunia Digital

Oleh Auni Zarifah

Sebelum anda meneruskan membaca artikel ini, ada satu soalan yang ingin saya ajukan. Dari manakah anda menemukan artikel ini lalu mengambil keputusan untuk membaca keseluruhan kandungannya? Bukanlah hal yang janggal jika saya katakan, anda menemui artikel ini lewat media sosial sama ada melalui garis masa (timeline) twitter, di ruang feed di Instagram atau mungkin di status Whatsapp teman anda.

Media sosial dalam kehidupan kini bukanlah satu perkara asing bahkan hampir setiap daripada kita mempunyai akaun maya sendiri. Paling tidak, kita punya satu akaun untuk melayakkan kita menjadi warga maya atau netizen. Memisahkan diri daripada teknologi digital bukanlah satu pilihan bijak, apatah lagi di tengah pandemik yang menuntut kita untuk terus bersosial dan bermuamalat melalui jaringan maya.

Bagaimana rancak dan terujanya kita berkomunikasi secara maya, kita sering dinasihatkan supaya berwaspada dengan kesan negatif yang bakal timbul. Ada baiknya kita merenungi konsep kesederhanaan atau minimalisme yang sering dianjurkan oleh para agamawan. Konsep minimalisme ini juga sering dikaitkan dengan konsep seni visual dan reka bentuk dalaman (interior decoration). Namun apa yang ingin kita ketengahkan dalam konteks komunikasi maya, minimalisme bermaksud bersederhana dan berhati-hati dalam dalam menjalani kehidupan sebagai warga maya.

Konsep minimalisme ini telah lama popular dalam budaya masyarakat Jepun yang gemar menjalani kehidupan secara ringkas atau (simple living). Secara lebih jelas, ia adalah kehidupan yang meninggalkan perkara yang tidak perlu serta menyerabutkan minda. Masyarakat Jepun telah lama menerapkan minimalisme dalam kehidupan dan menjalani kehidupan secara lebih sedar dan segar. Minimalisme di Jepun bermula dengan dekorasi rumah yang kurang menggunakan perabot serta hiasan dalaman keterlaluan. Amalan ini juga pada awalnya bertujuan mengurangkan kos kerugian akibat bencana alam terutama  gempa bumi yang sering melanda negara matahari terbit itu.

Sejak akhir-akhir ini, kehidupan berteraskan konsep minimalisme mula menjadi anutan ramai dan diterapkan dalam segenap ruang kehidupan, termasuklah dalam kehidupan maya dan komunikasi digital. Malah amalan hidup minimalisme mula diterapkan oleh masyarakat barat dan bangsa-bangsa lain di dunia. Dr. Cal Newport yang merupakan pensyarah dan penyelidik bidang sains komputer di Georgetown University berkata, dengan mengamalkan minimalisme digital, kita dapat hidup dengan lebih fokus dalam dunia yang penuh gangguan (distractions) dewasa ini. Beliau berkata demikian  menerusi audio siar (podcast) dalam saluran Rich Roll di Youtube.  

œTerlalu sibuk dengan media sosial membuatkan kehidupan kita jadi tidak tentu arah dan kita banyak membazirkan waktu pada hal yang bukan menjadi keperluan bagi kita, tambah beliau. Menerapkan minimalisme digital dalam kehidupan adalah dengan mengurangkan penggunaan media sosial. Menerusi minimalisme digital bermakna  kita juga mengurangkan kehadiran kita di internet dan hanya berkongsi perkara yang perlu sahaja seperti pembangunan kerjaya dan penambahbaikan kehidupan. Beliau juga berpendapat, kita seharusnya lebih menghargai anugerah masa yang dikurniakan kepada kita tanpa perlu memikirkan hantaran di sosial media agar kita kononnya kelihatan sempurna.

Berdasarkan komentar Dr. Cal itu, tidak dinafikan dalam sehari kita pasti menggunakan media sosial, namun kita tidak sedar berapa lama masa yang telah dihabiskan bagi melayani kealpaan maya kita itu. Bahkan kita sanggup bersengkang mata menghadap layar telefon dan gajet.

Sosial media bukanlah hal yang negatif, sehingga kita perlu menidakkan kehadirannya dalam kehidupan. Tujuan asal media sosial adalah untuk merapatkan perhubungan di samping menyebarkan maklumat sepantas mungkin. Banyak manfaat yang kita perolehi menerusi media maya, seperti isu semasa yang berlaku di seluruh dunia. Namun apa pun perkara yang disukai jika dilakukan secara berlebihan akan hadir juga impak negatifnya. Sebagai contoh, ubat-ubatan fungsi hakikinya adalah untuk merawat penyakit tetapi apabila digunakan secara berlebihan ubat tersebut bertukar menjadi dadah yang membawa mudarat. Begitu jugalah halnya dengan penggunaan media sosial, jika dilayan secara berlebihan membawa kita kepada kehidupan yang penuh keliru dan kecanduan maklumat tidak perlu. Inilah penyakit baru dihidapi masyarakat yang hidup dengan ledakan maklumat atau sering disebut sebagai information rich society oleh para sarjana media.

Di awal kemunculan internet sebagai prasarana baru dalam teknologi komunikasi, kesan buruknya belum begitu terasa. Lama kelamaan kita bagai hilang kawalan.  Dampak media sosial terhadap kesihatan mental kini hebat diperkatakan. Teknologi mula meracun kehidupan manusia.

Membandingkan diri dengan orang lain yang hidupnya tampak lebih sempurna di alam maya bukanlah hal yang asing bagi pengguna tegar media maya. Lama kelamaan stigma ini mencetuskan kemurungan – akibat merasakan kehidupan kita tidak seindah orang lain. Ia hadir menghuni segenap ruang fikiran. Ini belum lagi dicampur dengan kegelisahan terhadap mitos dan berita palsu (fake news) yang pantas tersebar. Ia diolah dengan penuh sensasi dan mengelirukan untuk terus menyerang minda dan perasaan manusia.                                              

Akibat kerosakan nilai dan makin parahnya kehidupan manusia, ada baiknya kita mendalami akan konsep hidup minimalisme. Dalam makna lain, jadilah warga maya yang sederhana. Tidak keterlaluan dalam penampilan, sabar dalam tutur bicara dan berwaspada dalam menghadam maklumat. Hadkan waktu penggunaan kita terhadap media sosial  dengan perkara yang lebih bermanfaat. Harus ada ilmu menimbangtara antara manfaat dan mudarat. Lain peringkat umur barangkali lain neraca timbangtaranya.

Bebaskan diri kita daripada babak pergaduhan dan perseteruan di kalangan netizen. Berhentilah membanding kehidupan kita dengan selebriti maya atau œselegram yang lebih mempamerkan kepalsuan. Mereka sekadar mahukan lebih likes dan share, sekaligus menjana iklan dan bayaran. Kita pula yang seolah-olah makin memeriahkan kepalsuan mereka sedangkan batin makin tersiksa.

Hiduplah dengan penuh kesedaran tanpa perlu menghukum diri kita untuk berkewajipan berkongsi segala detik hidup yang kita jalani. Mustahak untuk kita sentiasa mengingatkan diri kita, bahawa apa yang ghairah kita kongsikan saat ini di dunia maya barangkali akan menghukum kita di kemudian hari. Maklumat privasi diri adalah hal yang paling bermakna yang perlu dihargai. Ramai di luar sana yang sedang mengintai-intai kealpaan kita. Renung-renungkanlah!***

Leave a Reply