Memupuk gaya bahasa komunikasi lebih indah

Oleh Aznan Mat Piah

Bagaimana agaknya bentuk penulisan anak-anak muda sekarang ini apabila mereka berkomunikasi dengan ibu bapa, sanak saudara atau mereka yang lebih tua apabila berjauhan? Apakah mereka berkomunikasi sepertimana yang pernah dilakukan oleh generasi saya ketika zaman kami muda dahulu, iaitu menerusi warkah penulisan surat menyurat?

Persoalan ini sedikit sebanyak menimbulkan pertanyaan dalam pemikiran saya, bukan saja tentang bentuk kandungan dan teknik penulisan apabila golongan anak muda ini berinteraksi, tetapi juga cara mana mereka meluahkan perasaan atau menceritakan tentang diri mereka melalui platfom moden yang terdapat kini.

Mungkin cara berkomunikasi sekarang tidak lagi atau tidak banyak dilakukan menerusi surat menyurat kerana persekitaran dan penggunaan teknologi yang telah berubah. Penggunaan aplikasi teknologi canggih menerusi media sosial kini rasanya sudah menggantikan cara komunikasi yang dilakukan oleh generasi terdahulu.

Apabila saya imbas kembali, cara penulisan surat peribadi yang pernah dilakukan oleh generasi dulu amatlah halus, tertib dan bersopan santun sekali. Biasanya surat yang ditulis itu memulakan dengan ayat seperti “Kehadapan ayahanda dan bonda yang dikasihi semoga dalam keadaan sihat walafiat… ” Perhatikan penggunaan bahasa bersurat berbeza dengan bahasa pertuturan. Penulisan bentuk ini tidak hanya kepada ayah atau ibu kandung, bahkan juga apabila surat ini ditujukan kepada bapa saudara atau ibu saudara, sepertimana yang pernah saya lakukan sewaktu bersekolah atau belajar di kejauhan.

Surat yang diutuskan ini mengandungi ungkapan yang ditulis penuh hormat dan berhemah. Pada kebiasaannya, surat ini bermula dengan kata-kata hormat dengan melafazkan doa yang mengharapkan penerima diberikan tahap kesihatan yang baik. Kami diajar menggunakan ungkapan seperti “sentiasa dalam keadaan sihat walafiat” atau “diberikan Allah kesihatan yang baik” atau “dalam keadaan sihat sejahtera.”

Kemudian akan ada pertanyaan tentang khabar berita atau perkembangan yang berlaku dalam keluarga atau kejiranan di kampung halaman. Akan ditanyakan juga tentang keadaan cuaca dan persekitaran yang biasanya memberi gambaran bagaimana seseorang itu merindui kampung halamannya yang berjauhan dan lama ditinggalkan.

Selepas itu barulah si pengutus surat menceritakan tentang perihal atau perkembangan dirinya di perantauan atau jauh dari kampung halaman, sama ada belajar atau bekerja di dalam mahu pun di luar negara. Apa pun perkhabaran yang dikongsikan pastinya menyentuh perasaan pembaca sama ada berita itu baik atau sebaliknya. Surat di waktu itu adalah pengubat rindu bagi yang berjauhan.

Lenggok bahasa surat amat halus, adakalanya mengandungi peribahasa, pantun dan gurindam yang boleh menimbulkan suasana yang mahu disampaikan atau digambarkan si penulis. Teruja berkongsi keseronokan atau kesedihan yang dialami, atau sesuatu yang boleh mencuit hati si penerima apabila membacanya. Warkah ditulis mengandungi naratif yang menggambarkan emosi dan perasaan si penulis, menceritakan isi hati dan pengalaman yang dilalui ketika berjauhan.

Setelah menceritakan tentang kisah-kisah terkini yang dialami di perantauan, surat atau disebut juga warkah berkenaan akan diakhiri dengan luahan penuh ketertiban. Antara ungkapan yang biasa diucapkan apabila seorang anak menulis kepada ibu bapa: “Anakanda akhiri warkah ini dengan peluk cium dan kasih sayang agar ayahanda bonda sentiasa dipelihara dan terus berada dalam kandungan sihat wal’afiat serta sentiasa dalam lindungan Allah jua”. Menariknya surat itu ditutup dengan ungkapan “Disudahi dengan wasalam, dari anakanda yang jauh di perantauan”.

Berbalik kepada cara golongan muda kini berurusan dan berkomunikasi, setahu saya generasi kini tidaklah begitu “expressive” sepertimana golongan generasi ibu bapa mereka atu generasi “baby boomer” terdahulu seperti saya.

Seingat saya apabila anak-anak saya sendiri sedang membesar dan mereka berjauhan belajar di kolej atau asrama, tak pernah pula atau jarang sekali saya menerima surat daripada mereka. Apa-apa yang diperlukan atau hendak dimaklumkan mereka, hanya perlu melalui panggilan telefon.

Mungkin mereka juga tidak didedahkan kepada cara penulisan begini sewaktu belajar di sekolah. Atau mereka ada mempelajari cara-cara menulis surat tetapi tidak mengamalkannya sepertimana generasi terdahulu.

Cara mereka berkomunikasi adalah lebih ringkas dan kadang-kadang banyak menggunakan pendekatan “short form” atau “short cut”. Mereka tidak perlu mengutus surat kerana kaedah berkomunikasi sekarang ini banyak menggunakan aplikasi digital seperti WhatsApp, face time, sms atau messenger.

Nostalgia rasanya apabila mengimbas kembali cara kita berkomunikasi masa lalu melalui surat menyurat.

Mungkin generasi muda boleh dilatih semula dan diberi galakan bagi memperbaiki penulisan dalam bahasa ibunda. Tidak semestinya melalui pendekatan surat menyurat, tetapi menerusi bentuk aplikasi moden menggunakan gaya bahasa yang lebih indah, sopan santun dan berbudi bahasa. ***

Leave a Reply