Oleh Shahanim Shafee dan Auni Zarifah
Akibat perubahan teknologi media yang pantas yang turut disertai dengan kepelbagaian kandungan media, corak penerimaan masyarakat Malaysia terhadap program berbentuk Islamik mula beralih arah. Mereka mahukan perubahan dan kepelbagaian yang selari dengan perkembangan semasa masyarakat dunia dan isu-isu agama yang lebih kontemporari sifatnya.
Mutakhir ini, kita lihat semakin ramai penggiat seni mula berani mengetengahkan malah memperjuangkan konten bersifat Islamik agar lebih menyerlah dan mendominasi dunia penyiaran dan layar perak. Namun mereka terpaksa bertindak dengan lebih bijaksana dalam mengutamakan aturan syariat, dan dalam waktu yang sama melayani kehendak audien yang semakin kompleks dan bercitarasa tinggi.
Dalam apa pun kerjaya termasuklan menceburi bidang media, Muslim terus dituntut menta’ati syariat agama. Sebagai contoh, setiap umat Islam diwajibkan untuk menutup aurat dan menjaga batas pergaulan antara lelaki dan wanita bukan muhrim. Inilah antara cabaran paling besar bagi anak seni yang terlibat dalam dunia penyiaran dan industri layar perak.
Hal ini turut diakui oleh pengacara televisyen dan juga seorang pelakon, Puan Nurdiyana binti Amir Hashim atau lebih dikenali sebagai Diana Amir. Beliau berkongsi pandangan menerusi program bual bicara baru-baru ini. Program bertajuk œCabaran Penerapan ˜Islamic Content dalam Program TV: Imej Islamik dan Cabaran Dalam Lakonan itu disiarkan secara maya.
Diana Amir mula bergiat aktif dalam industri seni sejak tahun 2008 sebagai pelakon drama. Kini beliau lebih menumpukan kepada aktiviti sebagai pengacara program televisyen, penceramah motivasi dan penulis buku.
Berkongsi pengalaman beliau dalam kerjaya lakonan, Diana mengakui antara cabaran besar yang dihadapi beliau ketika bergiat aktif sebagai anak seni adalah konflik di antara para pelakon dan juga krew produksi.
œKerana kesuntukan masa ketika berada di lokasi penggambaran, solat dalam keadaan yang terkejar-kejar adalah antara hal yang perlu saya hadapi, ujar beliau. Beliau mengatakan setiap pengarah dan penerbit amat mementingkan masa kerana time is money.
Atas dasar minat yang mendalam terhadap bidang lakonan, Diana memberanikan diri untuk menghadapi cabaran sebagai anak seni demi mengejar impian beliau sebagai pelakon. Namun realiti tidaklah seindah tanggapan. Katanya, sesuatu yang kita minat itu tidak semestinya akan terus menjadi sesuatu yang terbaik untuk diri kita.
Tuhan menguji setiap manusia dengan ujian yang berbeza-beza, tetapi ujian yang diturunkan itu adalah kerana Tuhan mengetahui batas kemampuan kita bagi menghadapinya. Diana Amir menasihatkan anak muda masa kini terutama remaja Islam bagi menghadapi cabaran arus modernisasi dan dunia masa kini yang diselaputi dengan budaya bermewah-mewah atau hedonisme.
œAmatlah penting untuk kita menjaga iman dan akhlak kita serta jangan sesekali mendekati perkara yang dilarang oleh Allah, nasihat beliau yang juga ibu kepada tiga cahaya mata.
Diana berpendapat bahawa kandungan filem atau drama yang mengetengahkan Islam tidak pernah kering dalam dunia penyiaran tanah air. Namun realiti masa kini baginya amat meresahkan apabila masyarakat Islam di Malaysia lebih memilih untuk menonton hal-hal yang bertentangan dengan syariat Islam.
œJika ditelusuri sejarah perjuangan Rasulullah S.A.W dalam menyampaikan dakwah demi menegakkan tauhid, kita perlu menghargai pengorbanan baginda. Namun begitu, umat Islam pada hari ini lebih memilih untuk memandang enteng perjuangan tersebut, jelas Diana.
Mengakhiri perbincangan dalam sesi bual bicara tersebut, Puan Diana Amir menitipkan satu nasihat yang amat bermakna bagi masyarakat Islam di Malaysia. Nasihat beliau, amatlah kritikal bagi orang Islam di Malaysia untuk terus menyokong siaran televisyen yang mengetengahkan kandungan bersifat islamik seperti rancangan-rancangan di TV Al-Hijrah dan Astro Oasis.
œPenonton merupakan elemen penting bagi setiap penerbitan filem atau drama sebab mereka yang akan memberikan penilaian dan penarafan (rating) yang akan membantu program-program Islamik untuk terus berdaya maju, ujar Diana.
Menurut beliau lagi, usaha meneruskan dan memperbanyak kandungan media bersifat Islamik di layar perak dan dunia penyiaran merupakan perjuangan segenap lapisan masyarakat. Usaha mulia ini tidak hanya terhad kepada anak seni dan mereka yang terlibat secara langsung dalam industri media terutama penggiat genre media kreatif.
Program bual bicara maya dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) ini bermatlamat untuk berkongsi ilmu dan buah fikiran berkaitan karya keagamaan dalam dunia penyiaran tanah air serta melihat isu-isu yang sering ditimbulkan.***