Oleh Siti Zulaikha Zukefli
Bulan suci Ramadan ialah bulan yang ditunggu- tunggu oleh umat Islam. Umat Islam di seluruh dunia menghitung hari untuk menyambut bulan Ramadhan yang bakal tiba – bertemu kita seperti tahun- tahun yang lalu.
Namun begitu, seperti tahun 2020, kita akan meraikan bulan mulia ini dalam keadaan pandemik akibat covid- 19 yang masih belum reda. Kita sebagai umat Islam harus mendakap Ramadhan dengan berlapang dada, seterusnya mengambil kesempatan di bulan ini dengan memohon pertolongan Allah SWT dalam mengharungi virus covid- 19.
Menyambut bulan Ramadhan dalam situasi pandemik semestinya mempunyai perbezaan daripada kebiasaan sebelumnya. Antara aktiviti yang paling terkesan ialah solat tarawih berjemaah di masjid- masjid. Jika dulu, dapat kita rasai kemeriahan datang ke masjid beramai- ramai, melihat kanak- kanak bermain di sekitar masjid dan pakcik-pakcik berkumpul di warung untuk minum teh sambil menikmati hidangan ringan serta berbual sesama mereka selepas selesai solat terawih. Namun kini, pastinya aktiviti sosial sebegitu terpaksa dikurangkan dalam keadaan pandemik.
Kerajaan akan menetapkan Prosedur Operasi Standard ( SOP ) yang harus kita patuhi sekiranya ingin menunaikan solat tarawih berjemaah di masjid. Pastinya operasi standard ini bakal diputuskan bersama dengan jabatan agama di negeri masing-masing.
Di bulan Ramadhan juga, kita pasti tertunggu- tunggu untuk membeli di bazar Ramadhan yang menjual aneka makanan dan minuman. Bazar Ramadan begitu sinonim dengan aktiviti berpuasa rakyat Malaysia. Tanpanya bagai hilang seri Ramadan. Namun begitu, seperti dengan solat tarawih, terdapat juga SOP bazar Ramadhan yang perlu dipatuhi oleh penjual dan pengunjung. Pastilah dirasai kemeriahan itu berkurangan kerana di setiap bazar sudah dihadkan bilangan penjual yang dibenarkan.
Walaupun begitu, kita jangan sesekali merugikan peluang yang diberikan untuk merasai bulan Ramadhan sekali lagi dengan rasa hiba dan jiwa yang kosong. Kegembiraan tidak terletak kepada situasi luaran, tetapi kegembiraan terletak pada hati masing- masing untuk menjadi hamba Allah terbaik. Sambutlah bulan mulia ini dengan penuh kegembiraan dan mengambil peluang beribadah kepada Allah SWT dengan lebih intensif kerana ganjarannya tidak terkirakan. Sama-samalah kita sucikan hati dan ikhlaskan niat untuk menyambut bulan Ramadhan kali ini agar menjadi Ramadhan terbaik berbanding sebelumnya. Aamiin.***