The Moreh 2021: Kudapan Rohani Mengejar Cinta Ilahi

Oleh Nurdamia Qistina Mohd Azmi           

Dengan norma baru kehidupan yang harus kita lalui kini, pengalaman berpuasa pada tahun ini pastinya terasa lebih memilukan apabila beberapa amalan rutin di bulan Ramadan seperti sebelumya tidak dapat dilaksanakan. Antara amalan yang sering menghimbau kenangan kita di bulan mulia ini ialah menikmati hidangan œmoreh yang biasanya disusun selepas selesai solat tarawih berjemaah di masjid atau di surau. Amalan menikmati kudapan ringan sambil bermesra ini sedikit sebanyak membantu dalam menambah rasa persaudaraan di kalangan penduduk setempat.

Bersumberkan ilham moreh Ramadan, UIAM Pagoh mengambil inisiatif menganjurkan moreh rohani secara dalam talian, yang bermula pada 16 April lalu sebagai sesi pembukaan. Tanpa hidangan kuih muih dan secangkir kopi atau teh, program The Moreh 2021 ini merupakan perkongsian moreh secara rohani yang dianjurkan oleh Mahallah Representative Committees dari Mahallah Zaid bin Harithah.

Program moreh rohani ini yang dianjurkan dalam proses untuk lebih mengenali Sang Pencipta, turut mendapat kerjasama dan penyertaan pelbagai pihak. Antaranya Rakan Siswa YADIM UIAM Gombak, Rakan Siswa YADIM Darul Quran, Kelab Rakan Pusat Islam Darul Quran, Institut Dato Onn Johor, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia Johor, PROFAZ UIAM Kuantan, Maruf Club UIAM Gombak, Quranic Youth Club (QYC) UIAM Gombak dan NASTIA Youth Club Induk. 

Episod pembukaan The Moreh kali ini dimulakan dengan sembang-sembang keimanan melalui tajuk Fasting and Feasting: How to Observe an Active and Healthy Ramadan.  Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh tetamu-tetamu istimewa iaitu Dai Imran Zaki (Naib Juara Daie Pendakwah Nusantara TV3/2018) dan Fatin Nabila (Pengasas Empower Quran dan Pengarah The Amin Indris Show).

Kehadiran kedua-dua penceramah terkenal ini berjaya menarik perhatian umum bagi memeriahkan lagi program The Moreh 2021. Seramai 569 penonton telah sama-sama bermoreh sambil mendalami ilmu mengenai kepentingan bulan Ramadan dan tips kekal aktif serta istiqamah pada bulan puasa.

Hikmah bulan Ramadan ini dijadikan sebagai wadah merenungi diri untuk memperbaiki amalan dan gaya hidup seorang Muslim untuk menjadi lebih baik dan bertakwa. Rasulullah SAW menyatakan ˜apabila datangnya Ramadan, nescaya dibuka pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan. (HR al-Bukhari dan Muslim).

Dai Imran berkongsi rasa bahawa ramai orang yang berpuasa namun pada akhirnya tidak mencapai peringkat golongan mereka yang bertakwa. Hakikatnya, ketakwaan ini dapat dirasai sekiranya mukmin membina ikatan rohaniah bersama dengan Allah S.W.T.  Ikatan ini akan dapat dijaga sekiranya dikekalkan sehinggalah ke akhir Ramadan.

Manakala melalui perkongsian Fatin Nabila, sebak makin terasa.  Katanya, usaha memburu ilmu harus menjadi lebih bertenaga di bulan mulia ini. Tambah beliau, bagi mengekalkan ekspedisi Ramadan yang sihat dan aktif, mendalami ilmu dan mengenali pencipta adalah kunci yang utama. Menurut beliau, ilmu ini ibarat cahaya dalam semua perkara yang memberi kesan kepada diri. Maka, dari situlah datangnya kekuatan untuk sentiasa istiqamah dalam memburu dan memanfaatkan ilmu serta mengakhiri hidup dengan husnul khatimah.

Untuk kekal aktif di bulan Ramadan, Dai Imran menyarankan kepada agar menulis target harian atau bulanan sebagai salah satu cara untuk mendapatkan pengurusan masa yang baik dan kekal istiqamah dalam apa jua yang dilakukan. Beliau turut menyatakan bahawa sasaran ini adalah sesuatu yang mampu memberi impak dalam kehidupan kita.

Komuniti UIAM seharusnya tidak patut melepaskan peluang untuk menonton perkongsian The Moreh 2021 secara langsung di laman Facebook Mahallah Zaid bin Harithah pada setiap hari Jumaat bermula pada jam 9:45 malam. Kira-kira selepas selesai solat tarawih. Ramai tetamu istimewa yang dinanti-nantikan bakal berkongsi ilmu dan pengalaman mereka. Antaranya The Helmis danUstaz Syed Abdul Kadir.

Bagi mereka yang sudah menikmati kudapan iman pada The Moreh 2021 pada Jumaat 16 April lalu, teruskan kesetiaan anda sehinggalah 7 Mei 2021. Penganjur juga berharap agar majlis moreh rohani ini dapat dimeriahkan dengan berkongsi pautan dengan kenalan dan sahabat handai. Maklumat lanjut program boleh diikuti melalui laman rasmi Instagram @mahallah_zaidharithah.***

Leave a Reply