Tahun 2021 bakal kembali menjadi tahun mencabar buat mahasiswa?

Oleh Hakim Mahari

Lembaran tahun baru 2021 bermula dengan penuh dugaan dan cabaran yang melanda Malaysia. Sinar pelangi yang indah lagi menceriakan suasana bagai tidak kelihatan bersama datangnya tahun baru. Kita dilanda suram dan pilu.

Mukaddimah tahun 2021 bermula dengan ujian banjir yang menenggelamkan beberapa buah negeri. Paling tenat antaranya Pahang dan Johor. Tidak berakhir disitu, jumlah kes baharu Covid-19 di Malaysia makin meningkat hingga ke empat angka dan tertinggi setakat ini ialah 3,309 kes baharu pada 12 Januari 2021.

Keadaan ini telah membimbangkan banyak pihak terutamanya sektor pendidikan kerana pada awalnya persekolahan di Malaysia akan kembali beroperasi pada 20 Januari. Ibu bapa pun dah mula membuat persiapan anak ke sekolah. Manakala itu universiti dan institut pengajian tinggi (ipt) pula dijangka memulakan sesi pembelajaran secara hibrid pada awal Mac tahun ini. Desas-desus tersebar di media sosial berkenaan pelaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bagi mengawal situasi jangkitan COVID-19 di Malaysia.

Persoalan ini terjawab setelah satu pengumuman penting dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Januari 2021 melalui laman Facebook beliau. Dalam pengumuman tersebut, beliau memberitahu bahawa Perintah Kawalan Pergerakan bakal dilaksanakan di lapan buah negeri iaitu Pulau Pinang, Johor, Melaka, Selangor, Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Manakala di Terengganu, Kelantan, Pahang, Kedah, Perak dan Negeri Sembilan bakal dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bakal dilaksanakan di dua buah negeri iaitu Sarawak dan Perlis. Pelaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bertujuan untuk memutuskan rantaian virus bagi membantu dalam meratakan lengkuk jangkitan (flattening the curve). 

Dalam sekelip mata sahaja, rutin harian kerja yang dahulunya telah kembali pada asal dengan jadual yang padat, dan hujung minggu yang diisi dengan bersesak – sesak memenuhi pelosok ibu kota, kini telah berubah! Rutin harian bekerja dari rumah kembali menjadi kebiasaan serta tiada lagi manusia yang berlegar di pusat membeli belah seperti dahulu.

Namun begitu, apa yang menjadi kebimbangan selepas pelaksanakan PKP ini ialah nasib mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) kerana melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi ialah kemasukan mereka ke kampus universiti kekal seperti yang di yang dirancang oleh kementerian sebelum ini. Melihat kepada situasi semasa, sudah terang lagi bersuluh bahawa perancangan itu sukar untuk dilaksanakan dek peningkatan kes baharu yang mengerikan.

Jika baru-baru ini Menteri Pengajian Tinggi telah memberi sinar harapan kepada mahasiswa Institut Pengajian Tinggi apabila telah diumumkan bahawa sesi pengajian bakal kembali pada asal dengan pelaksanakan kelas secara hibrid dan kampus mula dibenarkan untuk beroperasi.

Perkara ini semestinya menggembirakan kerana tiada pembelajaran dalam talian yang mencabar mental dan fizikal mereka disamping dapat membantu mereka kembali fokus kepada akademik mereka. Namun setelah melihat kepada realiti, semua itu kini tinggal angan-angan yang mungkin tinggal kenangan.

Tahun lalu, pembelajaran dalam talian telah dilaksanakan bagi memastikan sesi akademik dapat diteruskan dalam norma kehidupan yang baharu dalam jarak sosial dan PKP dan juga bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar. Prospektif kewujudan universiti awam secara maya tanpa kehadiran mahasiswa secara fizikal hampir menjadi realiti dan mula memasuki tahun kedua pelaksanaannya.

Pembelajaran dalam talian pada zahirnya lebih memenatkan berbanding kelas secara fizikal kerana ia memerlukan usaha terus daripada mahasiswa itu sendiri untuk mempersiapkan diri dengan fasiliti yang diperlukan untuk pembelajaran dalam talian seperti komputer riba, jaringan internet serta ruang belajar yang kondusif. Namun begitu, tidak semua mahasiswa melalui nasib yang sama kerana mereka tidak datang dari latar belakang keluarga yang sama.

Selain itu, pembelajaran dalam talian ini juga telah menjadi satu cabaran yang besar buat mahasiswa dimana mereka perlu menguruskan masa dalam melakukan kerja di rumah serta beban kerja yang diberikan oleh pensyarah. Hal ini kerana, pembelajaran dalam talian kini dilakukan di rumah masing-masing yang mana tidak memberikan sebarang pengecualian bagi sesetengah mahasiswa dalam melakukan kerja rumah.

Justeru, kebanyakkan mahasiswa mula menzahirkan kebimbangan mereka sama ada mereka akan terus hidup di dalam norma baharu yang memerlukan mereka untuk melalui proses pembelajaran dalam talian atau mungkin perancangan Kementerian Pengajian Tinggi bakal menjadi kenyataan?

Potensi kewujudan universiti masa depan di mana mahasiswa mengikuti pembelajaran dalam talian secara separa atau sepenuhnya telah lama dibincangkan. Dalam konteks ini, pandemik COVID-19 telah memacu universiti untuk segera menjadikannya sebagai norma dan kelaziman baharu.

Dalam masa terdekat, universiti awam perlu melakukan penyesuaian bagi memastikan proses pembelajaran dan pengajaran dapat diteruskan. Pada masa yang sama, keprihatinan universiti terhadap kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa perlu diteruskan dalam bentuk bantuan yang berbeza.

Malah, proses pendidikan perlu dipastikan berlaku secara terangkum dan tiada mahasiswa yang tercicir dalam proses pembelajaran. Justeru, universiti dikehendaki memberikan perhatian terhadap akses dan kapasiti mahasiswa terhadap medium dalam talian dan bahan pembelajaran digital.***

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *